Sambal bilis kantan air tangan Kakak Jambang bikin ramai terliur, patutlah jadi menu 'top' suami
BUAT peminat sambal yang kurang gemar menggunakan belacan, resipi sambal bilis kantan perkongsian Kakak Jambang ini memang wajib dicuba.
Menurutnya, sambal ini antara menu bekal kegemaran suami kerana ia tahan lama, mudah disiapkan dan sangat sesuai dimakan bersama nasi.
"Sambal ini memang 'top' menu bekal suami saya, dia cakap kalau masak ni kena letak banyak-banyak sebab sedap!" kongsinya.
Keunikan sambal ini terletak pada penggunaan bunga kantan yang memberikan aroma harum serta rasa segar yang pasti membangkitkan selera.
Gabungan rasa pedas, masin dan sedikit masam menjadikan sambal ini sangat sesuai dimakan bersama nasi panas, ulam-ulaman atau dijadikan pelengkap hidangan harian.
Jom Kuali kongsikan resipinya:

Bahan-bahan
- 1 tangkai bunga kantan (dimayang halus)
- 1 mangkuk ikan bilis (digoreng)
- 3 ulas bawang merah kecil (dimayang dan ditumis)
- 3 ulas bawang merah kecil
- 3 ulas bawang putih
- 2 tangkai cili besar hijau
- 15 tangkai cili padi hijau
- Petai (pilihan)
MENARIK DIBACA: Sambal nyok sedap cicah dengan ulam... Tak payah masak, gaul-gaul dah siap!
MENARIK DIBACA: Jenis ikan bilis boleh jejas rasa sambal tumis, badan jalur biru dan hijau paling premium
Cara penyediaan
- Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan bilis sehingga separuh garing.
- Masukkan hirisan bawang merah, kacau sehingga bawang dan ikan bilis menjadi garing. Angkat dan ketepikan.
- Dalam minyak gorengan yang sama, masukkan bahan kisar (bawang merah, bawang putih, cili besar hijau, cili padi hijau) dan tumis sehingga pecah minyak serta sambal menjadi sedikit kering.
- Perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukup rasa.
- Masukkan semula ikan bilis dan bawang yang telah digoreng tadi. Kacau sehingga sebati dan biarkan hingga sambal naik minyak.
- Masukkan bunga kantan yang telah dimayang halus, kemudian gaul rata sehingga sambal menjadi lebih kering dan sebati.
- Jika suka rasa sedikit masam, boleh perahkan sedikit limau sebelum dihidangkan.