Sapu sikit minyak, rahsia kentang goreng rangup guna air fryer
KENTANG goreng antara snek kegemaran ramai — sesuai dinikmati ketika waktu santai mahupun sebagai pelengkap hidangan utama.
Proses penyediaannya juga cukup mudah — hanya tuang minyak dan goreng hingga keperangan.
Meskipun teknik tersebut hasilkan rasa dan tekstur sedap, proses menggoreng dengan minyak berlebihan bagaimanapun dianggap tidak sihat.
Sebagai alternatif, penggunaan air fryer kini menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati kentang goreng dengan cara lebih sihat tanpa minyak berlebihan.
Untuk hasil gorengan yang garing, rangup dan sekata, berikut beberapa tip penting yang boleh anda amalkan sebelum menggoreng:

1. Keringkan kentang sepenuhnya
Selepas direndam dalam air sejuk untuk menyingkirkan lebihan pati, lap kentang hingga benar-benar kering menggunakan tisu dapur atau kain bersih.
Air berlebihan akan menghasilkan wap semasa memasak dan menyebabkan kentang menjadi lembik serta tidak garing.

2. Sapukan sedikit minyak
Walaupun air fryer boleh digunakan tanpa minyak, sedikit sapuan minyak tetap membantu menghasilkan warna keemasan dan tekstur rangup.
Pilih minyak yang tahan suhu tinggi seperti minyak canola atau bunga matahari.

3. Jangan penuhkan bakul air fryer
Masukkan kentang dalam jumlah sederhana agar udara panas dapat beredar dengan sempurna.
Jika dimasukkan terlalu banyak, kentang tidak akan masak sekata.
MENARIK DIBACA: Simpan bawang dalam peti ais sebelum dipotong, ‘confirm’ air mata tak lagi mengalir
MENARIK DIBACA: Usia 30 dan kesuburan wanita, ini panduan sokong kesihatan reproduktif
Sebaiknya, goreng dalam beberapa pusingan kecil.

4. Panaskan air fryer terlebih dahulu
Sama seperti ketuhar, air fryer juga perlu dipanaskan beberapa minit sebelum digunakan.
Langkah ini membantu kentang masak lebih cepat dan sekata serta menghasilkan tekstur lebih rangup.

5. Tetapkan suhu dan masa yang tepat
Suhu ideal untuk menggoreng kentang ialah antara 180°C hingga 200°C.
Suhu terlalu rendah menyebabkan kentang tidak garing, manakala suhu terlalu tinggi membuatkan bahagian luar cepat hangus tetapi dalamnya masih lembik.

6. Tabur garam selepas masak
Jangan letak garam sebelum menggoreng kerana ia boleh menarik keluar air daripada kentang sehingga menjadikannya lembik.
Tabur garam atau perasa selepas masak ketika kentang masih panas supaya bumbunya mudah melekat.