Beli kuih koci untuk berbuka, sekali tengok dah penuh kulat
RAMAI orang memilih mengunjungi bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka memandangkan pelbagai jenis makanan ada dijual dalam satu tempat.
Namun bagi wanita ini, pengalaman membeli juadah di bazar Ramadan bertukar mimpi buruk apabila makanan yang dibeli rupanya sudah rosak dan tidak boleh dimakan.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita dikenali sebagai Noorezzaty selepas dia mendapati kuih koci yang dibeli oleh ibunya di sebuah bazar Ramadan dipenuhi kulat.
“Tolonglah meniaga dengan ikhlas. Orang beli pakai duit kot. Ibu saya beli dekat bazar Pasir Putih Keningau, Sabah,” tulisnya di laman Threads.

Dia turut berkongsi gambar kuih koci tersebut yang jelas menunjukkan permukaan kuih itu diliputi tompokan kulat.
Perkongsian tersebut pantas mencuri perhatian ramai sehingga mencetuskan persoalan mengenai tahap kebersihan serta kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan.
Tidak kurang juga yang berandaian perkara itu mungkin berlaku kerana ada peniaga yang menjual semula makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya.
Ini kerana ia agak mustahil berlaku sekiranya kuih tersebut baru dimasak pada waktu pagi sebelum dijual pada sebelah petang.
Bagaimanapun, wanita itu menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan untuk menjatuhkan peniaga bazar, sebaliknya sekadar memberi peringatan agar perkara sama tidak berulang lagi.
MENARIK DIBACA: Berbuka dengan juadah gorengan memang sedap, tapi awas risiko ketika perut kosong
MENARIK DIBACA: Ayam goreng beli di bazar ada ulat tepung, lelaki lega KKM pantas buat kerja
Tambahnya, isu tersebut akhirnya diselesaikan secara baik apabila penjual kuih koci berkenaan menghubunginya dan membuat permohonan maaf.
“Benda pun dah viral, saya nak nyatakan penjual kuih koci berkulat sudah DM dan minta maaf. Dia mengaku kekhilafan dia.
“Semoga jadi pengajaran untuk peniaga-peniaga lain agar lebih teliti dalam mengendalikan makanan.
“Kebersihan makanan adalah sangat penting. Jangan ingat kamu akan terlepas sebab memang ada undang-undang yang jaga hak pembeli,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa terkejut melihat keadaan kuih koci tersebut, malah ada menggesa wanita itu membuat laporan kepada pihak berwajib.
"Bukan nak cakap apa, tapi kebanyakkan perniaga memang suka ambik ringan dengan makanan yang dijual.
"Sebabkan benda macam inilah, aku prefer belajar buat kuih sendiri kat rumah.
"Kasi gegar gerai dia, takpun report dekat KKM," komen netizen.