Terung balado dah cukup enak, tambah limau purut dan ikan bilis terus naik 'level'
KALAU anda penggemar lauk kampung yang pedas menyengat dan cukup membuka selera, terung balado adalah pilihan terbaik.
Gabungan terung goreng yang lembut di dalam, bersama sambal balado yang pedas manis dan aroma daun limau purut, memang buat anda bertambah nasi dua tiga kali.
Lebih menarik, resipi ini turut ditambah ikan bilis goreng rangup yang menjadikan rasanya lebih padu.
Paling penting, ketika menggoreng terung, jangan terlalu lama supaya teksturnya tidak terlalu lembik dan masih sedap apabila digaulkan bersama sambal.
Jom Kuali kongsi resipinya:

Bahan-bahan
Bahan utama:
- 4 biji terung ungu (belah dan potong memanjang)
- Minyak untuk menggoreng
- 2 helai daun limau purut
- 1 sudu makan serbuk pati ayam
- 50 gram ikan bilis jengki (digoreng garing)
Bahan kisar halus:
- 5 biji cili merah besar
- 10 biji cili padi merah
- 8 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji tomato
- 2 sudu teh gula pasir
- 2 sudu teh garam
MENARIK DIBACA: Jangan tunggu dah rabun baru nak bertindak, amal terung pipit jaga kesihatan mata
MENARIK DIBACA: Rendam dalam air garam elak terung lebam, warna ungu kekal selepas digoreng
Cara penyediaan
- Goreng terung yang telah dipotong sehingga sedikit keperangan, kemudian angkat dan toskan.
- Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar halus sehingga layu, pecah minyak dan naik bau.
- Masukkan daun limau purut, kemudian teruskan memasak sehingga sambal benar-benar masak.
- Tambahkan serbuk pati ayam dan kacau sebati.
- Masukkan ikan bilis goreng dan terung yang telah digoreng tadi.
- Gaulkan sehingga semua bahan bersalut rata dengan sambal.
- Angkat dan sedia dihidangkan bersama nasi panas.