Burger nyamuk makanan mewah di Afrika, 7 kali ganda lebih banyak protein
MUNGKIN kedengaran aneh hingga boleh membuatkan sesiapa sahaja kembang tekak.
Namun tidak bagi segelintir penduduk di beberapa kawasan di Afrika seperti di Malawi, Mozambique, Kenya, Uganda dan Afrika Selatan apabila menjadikan nyamuk sebagai sumber makanan mereka.
Di benua berkenaan, nyamuk dilihat sebagai menu istimewa dan menyelerakan apabila ditangkap dan dimasak untuk dijadikan patti burger dikenali sebagai Kunga.

Bagi mendapatkan sebiji patti burger, ribuan nyamuk diperlukan namun ia tidak menjadi masalah disebabkan serangga itu mudah didapati.
Di sebalik keunikan dan nilai nutrisi yang terkandung, masih ramai kurang yakin untuk mencuba hidangan luar biasa ini.
Ini antara beberapa perkara menarik mengenai burger aneh yang menjadi hidangan tradisional penduduk di Afrika.
MENARIK DIBACA: Ada sebab sup ayam makanan terbaik ketika sakit, banyak betul kebaikannya
MENARIK DIBACA: Jepun berdepan krisis pengeluaran matcha, harga dijangka melambung

1. Kaya dengan sumber protein
Burger nyamuk menjadi makanan istimewa bagi penduduk tempatan di Afrika kerana dipercayai kaya dengan kandungan protein.
Kandungan protein dalam burger nyamuk dikatakan tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding daging lembu.
Bagi mereka yang tidak boleh makan daging, patti daging nyamuk digalakkan sebagai alternatif sumber protein.

2. Setengah juta nyamuk untuk sekeping pati burger
Sekitar 500,000 nyamuk diperlukan untuk menghasilkan sekeping patti daging nyamuk.
Kebiasaannya penduduk di sana akan menggoreng nyamuk tanpa perasa supaya rasa asli dapat dikekalkan.
Bukan itu sahaja, nyamuk juga dikukus selama 20 minit malah ada mencampurkan dengan minyak atau air sebelum dibentuk menjadi patti, digoreng dan dimakan seperti kek panas.
Setiap wilayah mempunyai resipi unik dan tiada kaedah khusus ditetapkan untuk memasak hidangan aneh ini.

3. Masalah kekurangan zat
Pendekatan menghasilkan hidangan ini sebenanya bertujuan menangani masalah kekurangan zat makanan dengan memanfaatkan protein dan nutrien tinggi dalam nyamuk.
Walaupun kelihatan pelik bagi sesetengah orang, populariti burger nyamuk semakin meningkat di beberapa kawasan dan memberi kesan positif kepada masyarakat.
Bahkan terdapat pakar pemakanan dari Hungry Koala, India, Ipsita Chakraborty berpendapat bahawa serangga kecil ini mengandungi semua asid amino penting dan nutrisi tinggi diperlukan tubuh.

4. Hidangan mewah
Bagi penduduk di Afrika, hidangan ini adalah antara hidangan yang mewah.
Di kawasan yang menghadapi kekurangan makanan atau kemiskinan, makanan seperti burger nyamuk menjadi alternatif mudah diperoleh dan mampu memenuhi keperluan pemakanan.
Penghasilan burger nyamuk tidak memerlukan sumber yang mahal seperti daging lembu atau ayam, jadi ia boleh dijadikan makanan mewah dan mampu milik.

5. Bagaimana rasa burger nyamuk?
Pakar serangga Arnold Van Hui berkongsi rasa burger nyamuk adalah kurang sedap jika dibandingkan dengan serangga lain seperti cengkerik atau belalang.
Dia pernah mencuba kuih kunga, sejenis kuih diperbuat daripada lalat tetapi tidak menyukainya.
Menurutnya, cengkerik dan belalang lebih sesuai dijadikan hidangan seperti itu kerana rasanya lebih enak dan mudah diterima ramai.