[V] 90 minit rentasi zaman Dinasti China, Xuyan Immersive Dining gabung seni dan makanan
JIKA selama ini konsep immersive dining hanya boleh dirasai di luar negara, terutama di China, kini pengalaman itu akhirnya muncul di Malaysia menerusi Xuyan Immersive Dining.
Bukan sekadar makan mewah, Xuyan mengangkat pengalaman menjamu selera ke satu dimensi baharu iaitu menggabungkan gastronomi, seni persembahan dan penceritaan budaya yang berlangsung selama 90 minit tanpa henti.
Melangkah masuk ke ruang makan, tetamu seolah-olah dibawa merentas zaman ke era dinasti China.

Dari tata cahaya, muzik latar, kostum sehingga ke gerak tari, semuanya disusun rapi bagi mencipta suasana dramatik dan penuh emosi.
Menariknya, sebelum acara bermula, tetamu diberi peluang menggayakan kostum tradisional China lengkap dengan solekan, menjadikan pengalaman ini lebih istimewa.
Sepanjang 90 minit, setiap segmen persembahan akan diselitkan dengan sesi makan membuatkan pengalaman ini terasa hidup dan tidak statik.
MENARIK DIBACA: [V] Sekali gigit terus jatuh cinta! Murtabak Singapore isi tebal, melimpah
MENARIK DIBACA: Makan tanpa was-was, 3 cawangan Lafayette dapat sijil halal Jakim
Tidak seperti konsep buffet, Xuyan mengetengahkan 12 hidangan Halal yang dihidang secara individu, dengan fokus pada sajian eksklusif
Sebaik melabuhkan punggung di meja, tetamu terus dihidangkan dengan pembuka selera yang dekat di hati iaitu kuih muih nyonya, otak-otak serta kerabu mangga.
Secara keseluruhan, menu Xuyan membawa pengaruh Chinese-Fusion, namun masih mesra dengan cita rasa tempatan misalnya Double Boiled Chinese Soup, Udang Raja Crispy, Braised Tofu dan Stir-fry Veggies.

Antara paling mencuri perhatian ialah Ikan Siakap Stim yang dikukus sempurna, isi lembut dan segar, disiram sos ringan beraroma halia dan kicap seimbang.
Menariknya, Xuyan tidak terhad kepada elemen China semata-mata.
Turut diselitkan persembahan tradisional Melayu, lengkap dengan sajian sate ayam yang lembut dan berjus derta aroma bakar menggoda.

Persembahan India pula diiringi dengan Ayam Masala yang diamasak pekat berempah kemudian dipadankan bersama nasi basmathi lembut.
Sebagai penutup, tetamu disajikan Lai Chee Kang, pencuci mulut klasik yang rigan, manis dan menyegarkan.
Xuyan Immersive Dining bukan sekadar fine dining, tetapi satu pengalaman budaya yang sukar dilupakan.