Rambang mata dibuatnya! ‘Syurga’ kek klasik ada di Taman Melawati
HARUMAN kek yang baru dibakar menusuk hidung ketika melangkah masuk ke Kek Molek yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kafe ini memang cukup dikenali dalam kalangan penduduk setempat kerana mengekalkan pembuatan kek tradisional yang penuh nostalgia.
Bagi yang meminati kek klasik, Kek Molek lokasi wajib singgah!

Antara yang mencuri perhatian sudah tentu kek sarang semut original dan perisa pandan.
Tekstur lembap dengan liang-liang 'sarang semut' yang cantik, rasa manis karamel sederhana dan aroma gula hangus memang menggoda selera.
Setiap gigitan terasa ringan, tidak muak dan sesuai dipadankan dengan segelas kopi panas.
MENARIK DIBACA: [V] Kopitiam 143 serlah citarasa ‘Chinese fusion’, pelbagai pilihan roti bakar wajib dicuba
MENARIK DIBACA: [V] Sekali gigit terus jatuh cinta! Murtabak Singapore isi tebal, melimpah
Jika berkesempatan ke sini, kek marble antara yang patut dicuba. Rasa mentega menyerlah dan tekstur gebu memang mengimbau nostalgia.
Corak marmar coklat dan vanila memberikan sentuhan klasik terhadap visualnya yang membuatkan mata terpaku.
Kek carrot pula tak kalah, lebih-lebih lagi apabila digabungkan pula dengan krim keju pekat berlemak. Rasa manis, masin cukup seimbang dan percayalah, tidak cukup sepotong.

Bagi yang kurang menggemari manisan, Kek Molek turut menyediakan hidangan lain seperti nasi lemak ayam merah dan soto Johor.
Disarankan agar datang dengan perut kosong kerana saiz hidangan nasi lemaknya cukup besar malah boleh dikongsi dengan tersayang.
Dari segi suasana, ruang makan di Kek Molek selesa, kemas dan tenang. Ia sangat sesuai untuk sarapan pagi, minum petang, atau sekadar lepak santai sambil menikmati kek dan minuman panas.
Lokasi: Kek Molek, 5436, Jalan J9, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur
Waktu operasi: 8.30 pagi - 7 malam
