Ramai geli nak makan ikan bandaraya, selepas cuba rasanya macam isi ayam... Buat kuah laksa pun sedap
DENGAR sahaja ikan bandaraya mesti ramai tidak menyangka ia boleh diolah menjadi juadah yang enak.
Tetapi ramai kembang tekak apabila mengenangkan ‘ikan pembersih najis’ itu dikaitkan dengan tugas membersih akuarium memakan sisa kotoran.
Malah ikan itu yang banyak membiak di dalam sungai di bandar-bandar besar sering kali ditangkap untuk dihapuskan.
Namun sebenarnya ikan tersebut seperti ikan biasa yang lain malah mempunyai tekstur lembut seperti daging ayam.

Seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Dunia Badol, membuka mata netizen dengan perkongsian video masakan kreatif menggunakan ikan itu.
Ingin menggubah presepsi masyarakat tentang ikan bandaraya, akaun berkenaan banyak berkongsi tip tentang cara membersihkan dan cara memasak ikan tersebut dengan betul.
Ternyata perkongsian dibuat Dunia Badol mendapat perhatian netizen sehingga akaun TikTok miliknya mencecah 85,000.
Ceritanya, ikan bandaraya itu sebenarnya ramai peminat malah isinya boleh dijual sehingga RM20 untuk sekilogram.
MENARIK DIBACA: Sotong pedas sedap ala kenduri memang sedap, rahsianya kena tumis lama baru mengancam
MENARIK DIBACA: Kopi bonet RM6 memang berbaloi, pilihan premium memang puas hati
“Saya tengan ambil isi ikan bandarraya kerana ada tempahan. Saya bawa balik dalam empat ekor, boleh dapat RM20 satu kilogram.
“Isi ikan ini untuk dimakan bukan dijadikan umpan memancing. Kulit ikan tak boleh guna sebab keras.
“Tengok rupa menggelikan, tapi bila makan isinya buat goreng tepung, asam pedas atau kuah laksa rasanya sangat sedap!” kongsinya.
Menjala sendiri dari sungai, lelaki itu turut berkongsi video mencipta pelbagai resipi lauk menggunakan ikan berkenaan kelihatan cukup menyelerakan.
Kaki pancing itu turut menjual telur ikan berkenaan dengan harga RM20 satu bekas kecil sesuai dijadikan sebagai umpan memancing.

Perkongsian video Dunia Badol membuktikan bahawa ikan dipandang sebelah mata ini sebenarnya menyimpan potensi besar dalam dunia masakan.
“Mantap bang, ada juga geng makan ikan bandaraya, sedap ni.
“Pertama kali nak makan macam geli, sekali makan sedap sangat,” komen netizen.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memakan ikan bandaraya (Plecostomus) adalah harus tetapi dengan syarat ia diternak atau diperoleh dari persekitaran bersih dan tidak memakan benda-benda najis atau haram.