Havoc Food Festival diiktiraf Malaysia Book of Records, dihadiri 18 juta pengunjung
PENGANJURAN Havoc Food Festival (HFF) yang melabuhkan tirai pada malam Ahad diiktiraf sebagai Festival Jelajah Makanan Terbesar oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan tersebut diberi selepas HFF berjaya menjelajah ke semua 14 buah negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan jumlah kehadiran pengunjung dicatatkan sebanyak 18 juta orang.
Majlis penutup yang berlangsung di Dataran D, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Perlis pada malam Ahad turut menyaksikan majlis penganugerahan HFF yang turut disaksikan oleh ribuan pengunjung.
Bukan sekadar pesta makanan, HFF turut menjadi platform berimpak tinggi untuk para usahawan tempatan mempromosikan jenama mereka selain meningkatkan jualan sekali gus mengembangkan rangkaian perniagaan.
Pada masa sama, HFF turut merancakkan ekonomi setempat terutama bagi sektor pelancongan, seiring usaha menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Antara pencapaian utama penganjuran HFF yang diraih adalah berjaya menarik lebih 18 juta pengunjung sepanjang siri jelajah dianjurkan dengan menghimpunkan lebih 300 usahawan dan selebriti F&B daripada pelbagai latar belakang.
Selain itu, HFF juga berjaya mempersembahkan hidangan warisan setiap negeri serta menu viral terkini, disamping menjadikan HFF sebagai satu-satunya festival makanan bersiri terbesar yang pernah diadakan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Datuk Firdaus Nadxaman, berkata, kejayaan HFF adalah hasil dedikasi seluruh pasukan Havoc, vendor, artis, pihak berkuasa tempatan, rakan kerjasama dan jutaan pengunjung yang hadir di setiap lokasi.
"Dari Johor hingga Sabah, dari Sarawak hingga Perlis, HFF bukan sekadar tentang makanan, tetapi tentang komuniti, kebersamaan dan meraikan kepelbagaian rasa Malaysia.
"Pengiktirafan ini membuktikan kekayaan budaya kulinari negara dan kami berbangga menjadi pemacu utamanya.” ujar Firdaus.
MENARIK DIBACA: Chef Dave perbetul salah faham tentang vegan, mahu popularkan gaya hidup sihat
MENARIK DIBACA: Cuka epal ubat mujarab atasi kelemumur, rahsia rambut lebat berkilat
Dengan pengiktirafan ini, HFF bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah menetapkan penanda aras bagi penganjuran festival makanan berskala mega di Malaysia.
Pada masa sama, penghargaan khas turut diberikan kepada penaja rasmi, Perfume Paradise atas komitmen dan sokongan padu sepanjang siri jelajah HFF berlangsung.
Siri jelajah HFF telah bermula pada Januari lalu dan Shah Alam, Selangor telah menjadi lokasi pertama untuk siri jelajah makanan tersebut diadakan.