KUALI | Trending

Ayam masak lemak punca Hichizarai dikenali, ambil peluang perkenal juadah kampung... Impi buka restoran sendiri

Lead Image

CARA penyampaian dengan intonasi suara yang sopan pemuda berusia 26 tahun ini cukup menyenangkan.

Malah setiap butir kata yang keluar dari bibirnya mudah difahami ketika menghasilkan video masakan di media sosial.

Menjadikan resipi masakan kampung sebagai konten untuk menuai perhatian netizen, menu-menu dikongsikan pempengaruh asal negeri Kedah itu juga terlihat mudah dan sederhana.

Melihat pada lambakan pembuat konten masakan membanjiri media sosial hari ini, Muhammad A'dli Juraidi, 26, sedar dia perlu mencari keunikan tersendiri supaya dapat menarik perhatian pengikutnya walaupun ia bukan perkara mudah.

Selepas tiga tahun terbabit sebagai pembuat konten masakan, A'dli melihat kerjaya tersebut memiliki peluang cerah untuk menjana pendapatan.

Mengimbas kembali perjalanan kariernya sebagai pembuat konten masakan, A'dli atau turut dikenali dengan nama Instagramnya, @hichizarai berkata segalanya bermula secara tiba-tiba sewaktu dunia dilanda pandemik wabak Covid-19 sekitar 2021.

Ketika itu, pemuda berkulit cerah itu masih bekerja dalam bidang peruncitan (retail) di salah satu butik jenama mewah yang terletak di pusat beli-belah, Suria KLCC.

"Tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya terus bekerja dalam bidang retail di Kuala Lumpur selama tiga tahun sehinggalah pandemik Covid-19 menyerang dunia termasuk Malaysia.

"Kerajaan pula ketika itu mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga rakyat langsung tidak dibenarkan untuk keluar rumah.

Pada usia 26 tahun, A'dli mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian dalam bidang kulinari suatu hari nanti.

"Disebabkan bosan, saya terfikir untuk hasilkan video memasak secara suka-suka dan memuat naik video tersebut dalam media sosial," kata pemuda berkaca mata itu.

Tidak sangka bermula sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang, akhirnya kegiatan merakam video masakan membenihkan rasa minat dan keterujaan buat A'dli

Pada masa sama, video dikongsi berjaya meraih perhatian netizen apabila perlahan-lahan mula memancing pengguna untuk mengikuti akaun media sosialnya.

Melihat pada perkembangan positif itu, A'dli akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja dan untuk memberi tumpuan sebagai pembuat konten masakan sepenuh masa.

"Saya berhenti kerja dalam bidang retail kerana sudah nampak peluang yang terbuka luas sebagai pembuat konten masakan. 

MENARIK DIBACA: Ada sebab orang Kelantan tak makan ikan kekacang, sumpahan dan mitos di sebaliknya buat ramai takut

MENARIK DIBACA: Selalu ‘gaduh’ tapi tetap sayang... Pemandu Ojol jalan amanah rakyat Malaysia, serah makanan kepada golongan memerlukan

"Pada masa sama, saya sudah mula mengumpul pengikut yang suka dengan konten-konten masakan yang saya hasilkan.

"Lagi pula saya memang minat memasak. Itu sahaja kemahiran yang saya miliki," katanya sambil ketawa.

Disoal tentang kelainan yang cuba ditampilkan, jejaka bertubuh genit itu menjadikan menu masakan kampung sebagai kekuatannya dalam bidang kulinari.

Kata A'dli, dia cuba tampil dengan resipi-resipi kampung yang mudah untuk dihasilkan sebagai daya penarik, selain mahu menjadikan menu dikongsi sebagai rujukan pengikutnya.

Konten masakan kampung menjadi pilihan A'dli untuk memikat perhatian pengikutnya.

"Pengikut saya rata-rata mereka yang gemar dengan masakan kampung. Jadi saya cuba hasilkan resipi kampung yang mudah untuk mereka ikut.

"Alhamdulillah, setakat ini resipi yang saya kongsikan mendapat sambutan, walaupun ada beberapa konten pernah dikecam hebat.

"Biasalah, bila kita buat sesuatu menu, masing-masing ada cara mereka tersendiri. Jadi masakan saya dikatakan salah oleh netizen," katanya.

Bagaimanapun, A'dli berkata disebabkan kecaman juga dia semakin dikenali, malah menu pertamanya yang viral adalah berpunca daripada kecaman netizen.

"Resipi pertama saya adalah sup ayam. Tetapi menu pertama saya yang viral adalah ayam masak lemak cili padi. Itu pun viral disebabkan oleh kecaman.

Setiap konten yang dihasilkan dibuat dengan penuh perasaan.

"Dalam video tu saya ada tulis resepi original masak lemak ayam Negeri Sembilan, tapi tak pasti dekat mana saya silap. Ketika itu ramai orang Negeri Sembilan datang serbu ruangan komen, cakap saya salah.

"Saya terkejut pada awalnya bila dikecam kerana sejujurnya saya bukanlah seorang kalis kecaman," ujarnya mengimbas kenangan yang berlaku dua tahun lalu itu.

Selain harus kebal terhadap kecaman, A'dli juga perlu kreatif untuk menghasilkan video-video menarik dan berkualiti, walaupun perlu merangkak perlahan-lahan kerana kurang kemahiran.

Kata A'dli, dia banyak merujuk YouTube untuk belajar tentang teknik merakam video dengan baik selain menjadikan konten daripada Youtuber lain sebagai panduan.

 Pengikut saya rata-rata mereka yang gemar dengan masakan kampung.

A'dli

"Sejujurnya saya tidaklah mahir untuk merakamkan video. Maka saya jadikan YouTube sebagai panduan.

"Untuk peralatan pula, saya keluarkan sendiri duit poket untuk beli kamera dan lighting untuk bantu saya hasilkan video-video berkualiti.

"Perlahan-lahan saya mula mendapat rentak dan hasilnya seperti apa yang anda dapat lihat pada hari ini," katanya teruja.

Selepas dua tahun bertapak sebagai pembuat konten masakan, A'dli tidak menyangka akan berada pada tahap sekarang.

Walaupun masih dianggap baharu, namun A'dli sudah mula memikirkan perancangan untuk jangka panjang demi masa depannya.

A'dli banyak belajar cara untuk membuat video menerusi YouTube.

Antaranya adalah keinginan untuk menyambung pengajian dalam bidang kulinari.

"Habis sahaja SPM saya terus bekerja. Jadi antara perancangan saya adalah untuk sambung belajar dalam bidang kulinari.

"Sekurang-kurangnya saya ada ilmu dalam bidang yang saya minati. Alhamdulillah, keluarga sangat menyokong apa yang saya lakukan hari ini.

"Untuk perancangan jangka masa panjang pula, Insya-Allah saya juga ada impian untuk buka sebuah restoran yang menyajikan masakan kampung hasil air tangan sendiri. Doakan saya," katanya penuh tekad.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Mat salih jual ais kacang guna basikal roda tiga di Sweden, sanggup angkut mesin dari Malaysia - “Pertama kali cuba terus ketagih”

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

‘Tewas’ dengan teh ais Thai, teh tarik minuman ke-34 terbaik dunia 

Terhangat