‘Tewas’ dengan teh ais Thai, teh tarik minuman ke-34 terbaik dunia
KALAU sebut tentang minuman kegemaran rakyat Malaysia, sudah tentu teh tarik menjadi pilihan nombor satu.
Menariknya, portal kulinari antarabangsa TasteAtlas baru-baru ini mengeluarkan senarai 100 minuman tradisional terbaik dunia dan teh tarik berjaya berada di tangga ke-34.
Namun begitu, minuman ikonik negara kita ini ‘tewas’ kepada pesaing dari negara jiran, iaitu teh ais Thai yang berada di kedudukan ke-6.

Sekilas pandang, teh tarik dan teh tarik Thai memang nampak serupa memandangkan kedua-duanya berasaskan teh dengan rasa manis berlemak.
Tetapi jika diteliti, cara penyediaannya sedikit berbeza menyebabkan wujud perbezaan rasa ketara.
Misalnya, teh tarik terkenal dengan aksi 'tarikan' yang menjadi elemen unik dalam penyediaannya manakala resipi teh ais Thai pula lebih kompleks.
Secara tradisionalnya, teh ais Thai dihasilkan menggunakan daun teh hitam berkualiti seperti Assam, Ceylon atau Keemun.
MENARIK DIBACA: Malaysia perkukuh kuasa kulinari serantau, lapan sajian masuk senarai 100 terbaik dunia... Mi Bandung ditangga kelima
MENARIK DIBACA: Roti canai antara 50 sarapan terbaik di dunia, kalahkan bubur ayam dan nasi goreng Indonesia
Ditambah pula dengan ramuan istimewa seperti asam jawa, bunga lawang dan buah pelaga yang ditumbuk, rasanya jadi lebih aromatik.
Walaupun teh tarik gagal menembusi kelompok 10 terbaik, Malaysia tetap boleh berbangga kerana ada lagi dua minuman tradisional kita yang berjaya masuk dalam senarai tersebut.
Ipoh White Coffee berada di tangga ke-53 dengan keistimewaannya yang tersendiri, manakala air bandung pula berada di tangga ke-58.

Kejayaan ini membuktikan bahawa citarasa dan budaya minum kita ada tempat di hati penggemar kulinari global.
Dalam senarai yang sama, minuman terbaik dunia diberikan kepada lulada dari Colombia iaitu minuman segar yang dihasilkan daripada buah eksotik lulo bersama jus limau, air dan gula.
Di tempat kedua pula ialah aguas frescas dari Mexico manakala mango lassi dari India berada di kedudukan ketiga hasil keunikan rasanya yang berkrim.