KUALI | Trending

Dari makmal forensik ke dapur... Minat masak Shafiq Cute lahir sebab tanggungjawab, kari menu pertama buat keluarga

Lead Image

SENYUMAN manis yang tak pernah lekang ketika memasak di dapur membuatkan ramai terpesona dengan pempengaruh masakan Shafiq Cute.

Shafiq atau Mohd Shafiq Zulkarnain menerusi video-video masakan ringkas yang bukan sahaja menyelerakan, malah disampaikan dengan senyuman manis yang menjadi ‘trademark’ dirinya.

Wajahnya yang comel membuatkan dia mudah dikenali oleh pengikut terutama dalam kalangan wanita.

Shafiq sendiri tidak menafikan perkara itu malah di awal pembabitannya dalam dunia konten masakan, dia memang menjual 'rupa' demi dikenali ramai.

Menjalankan tugas hakiki tidak mematahkan semangatnya menghasilkan konten.

Namun di sebalik pesona memikat itu, bakat dan kreativiti dalam bidang masakan sebenarnya faktor utama menaikkan namanya dalam dunia kulinari digital.

Menariknya, jejaka berusia 32 tahun ini bukan sekadar memiliki minat mendalam dalam dunia masakan, malah turut memegang jawatan penting sebagai pegawai forensik DNA di sebuah jabatan kerajaan.

Berwajah tenang dan berperwatakan mesra, Shafiq berjaya mengimbangi kehidupan profesional yang serius dengan sisi kreatifnya sebagai pencipta kandungan.

Di dapur, dia bukan sahaja cekap mengadun rempah dan rasa, tetapi juga mencuri perhatian dengan penyampaian santai dan penuh karisma.

Minat memasaknya sudah dipupuk seawal usia 10 tahun.

Curi-curi memasak sejak umur 10 tahun

Minat memasak bukanlah sesuatu yang asing bagi Shafiq, malah ia sudah berakar sejak zaman kanak-kanak.

Seawal usia 10 tahun dia sudah ligat di dapur namun, minat itu bukan sekadar hobi sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab.

Dengan ibu yang bekerja dan ayah pula kurang sihat, Shafiq memberanikan diri menyediakan kari pertamanya demi mengisi perut keluarga.

Dari saat itulah, bibit cinta terhadap dunia masakan mula berputik dan terus berkembang sehingga hari ini.

Malah, dia pernah memasak secara sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui ibunya kerana pernah dimarahi.

MENARIK DIBACA: Tak payah beli produk mahal! Daun ketumbar dan jintan manis boleh hilangkan mulut berbau

MENARIK DIBACA:Rahsia waffle rangup di luar gebu di dalam tanpa bahan penaik

Kongsi Shafiq, namanya mula dikenali apabila sekadar berkongsi resipi biskut raya almond London di Instagram mendapat sambutan luar biasa sekaligus menjadi titik tolak ke platform TikTok dan Facebook.

Kini, Shafiq cekap mengatur masa dengan memfokuskan kerjaya hakiki pada siang hari manakala sebelah malam dan hujung minggu pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkarya dan menghasilkan konten.

Isteri tak pandai masak

Walaupun sering dilihat serasi di dapur, Shafiq mengakui bahawa isterinya bukanlah seorang mahir memasak.

Namun, bagi Shafiq itu bukan kekurangan sebaliknya ruang untuk mereka belajar dan berkongsi rasa bukan sekadar dalam masakan tetapi juga dalam kehidupan berumah tangga.

“Isteri saya memang kurang mahir memasak, jadi dia lebih suka ikut gerak langkah saya di dapur.

Antara menu-menu yang dikongsi oleh Shafiq.

“Tapi Alhamdulillah, kami sentiasa masak bersama dengan harmoni tak pernah bertelagah di dapur,” katanya.

Menurut Shafiq, mereka berdua saling melengkapi. Dirinya lebih cenderung memasak menu-menu berat manakala isterinya lebih selesa menyediakan hidangan ringkas menyelerakan.

“Ada masanya masakan isteri kurang menjadi, tapi kami tetap makan juga dan kebiasaan kami akan bergilir-gilir.

“Saya akan bantu olah semula rasa supaya lebih sedap dan isteri pula tak malu untuk mengakui kalau masakannya kurang menjadi itu yang saya hargai.

“Kami saling menerima seadanya dan saya pun bukanlah cerewet dalam soal makan. Apa yang paling penting, kami masak dan makan bersama,” katanya.

Kini usia perkahwinan mereka sudah memasuki tahun kelima.

Pun begitu, perjalanan Shafiq dalam dunia konten tidak semuanya indah belaka dan mudah.

Di sebalik video masakan yang sering mencuit selera dan mendapat ribuan tontonan, ada juga cabaran perlu dihadapi termasuk kecaman tidak wajar daripada segelintir netizen.

Shafiq mengakui, dia terpaksa meminta isterinya memakai pelitup muka ketika membuat konten bersama.

Bukan kerana faktor kesihatan, tetapi demi melindungi isteri dan keluarga daripada menjadi sasaran komen negatif.

“Saya banyak sangat menerima komen negatif terutamanya pada awal-awal dulu namun lepas berkahwin komen negatif sampai ditujukan pada keluarga.

Shafiq mula mengajar anak mengenali dunia masakan seawal usia 2 tahun.

“Memang sedikit sedih bila ada yang buat komen tentang penampilan isteri saya ketika kami buat konten.

“Jadi, saya rasa lebih selamat kalau dia pakai mask supaya tak jadi sasaran kritikan,” kongsi Shafiq.

Baginya menjaga privasi dan perasaan orang tersayang lebih penting daripada mengejar tontonan atau populariti semata-mata.

Walaupun kelihatan tenang di luar, komen yang tidak bertanggungjawab itu jelas memberi kesan kepada mereka sebagai pasangan suami isteri yang sekadar mahu berkongsi minat memasak dengan penonton.

Kenalkan anak pada dunia masakan

Shafiq yang juga bapa berkongsi pendekatannya dalam mengenalkan anaknya kepada dunia memasak sejak usia dua tahun.

Shafiq akan lebih menumpukan penghasilan konten berelemenkan kekeluargaan.

Menurutnya, dia sering mengajak anaknya bersama-sama dalam aktiviti memasak dan turut melibatkan anak dalam kandungan yang dihasilkan.

Selain mengajar memasak, Shafiq juga mempraktikkan cara lain seperti memasak di hadapan anak dan membiarkan si cilik mencuba memotong bahan makanan menggunakan mainan potong-potong.

“Saya ajar anak untuk ikut sekali kerana apabila dia melihat, dia akan cuba buat juga. Insya-Allah, jika besar nanti dia berminat dalam bidang ini saya akan sokong sepenuhnya,” jelasnya.

“Jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain seusia dua tahun, biasanya mereka tidak mengenal buah jambu, mangga, ikan, atau ayam tetapi anak saya sudah mengenal kesemuanya,” katanya dengan penuh bangga.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Dah berkarat tapi power! Rupanya ada rahsia masakan jadi sedap guna ‘kuali legend’

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

KULinary Award iktiraf 11 pengusaha makanan di KLIA, Jibby Chow menang Restoran Tempatan Terbaik

Terhangat