Fazley kongsi KA pernah datang kedainya, kini faham kenapa 'content creator' jadi rujukan ramai
BANGGA dan teruja. Itu yang dirasakan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob apabila berkongsi restoran miliknya, Minangkapau pernah dikunjungi pempengaruh masakan terkenal, Khairul Aming atau KA.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Fazley, 47, memuji keperibadian KA apabila menyifatkan figura hebat itu tidak sombong.
Walaupun namanya cukup berpengaruh di Malaysia, KA masih bersikap rendah diri dan tidak menggunakan nama serta pengaruhnya dalam apa jua situasi.

"Dia (Khairul Aming) datang, dia makan dan dia senyum. Ya betul beliau pernah datang ke salah satu restoran saya, Minangkapau.
"Tak ada angin sombong, tak ada ego dan tak ada sikap mencari salah resipi. Selepas itu kami ambil gambar tanda kenangan," tulisnya.
Jelas Fazley lagi, kebiasaannya pemilik restoran akan berasa segan atau bimbang jika ada cef lain datang ke tempat makan mereka berkemungkinan masakannya akan dikritik atau resipi dicuri.

"Tapi bila KA yang datang, rasa bangga melebihi segala-galanya apabila melihat seorang anak muda berjaya menjadi ikon ramai orang.
"Dia tidak terus menjadi ikon 'what's up guys', tapi bermula dengan sikap sopan dan ramah.
"Ramai anak muda yang sedang mencuba nasib menghasilkan konten memasak selepas melihat KA berjaya," tulis Fazley.
Dalam hantaran sama, dia turut menyuarakan pandangan apabila mendapati, ramai pencipta kandungan hari ini datang bukan dari latar belakang atau mempunyai kelulusan dalam bidang masakan.
MENARIK DIBACA: Penyampai radio kena banyak cakap, tak boleh tunjuk letih... Ini cara Elly Arifin kekal bertenaga sepanjang Ramadan
MENARIK DIBACA: [V] Bimbang berat badan naik, Ezzanie Jasny cuma berbuka puasa dengan kurma
Namun, mereka faham dengan kehendak serta kemahuan masyarakat, sekali gus berjaya menarik minat orang ramai.
"Kalau betul ada yang benar-benar nak belajar segala teknik yang betul dalam proses memasak, pasti mereka akan ke kelas khas dan berguru dengan bijak pandai.
"Tapi sejujurnya, kebanyakan yang nak memasak apa jua resipi mencari cara yang mudah faham dan tak sakitkan kepala.
"Sebab tu pencipta kandungan memasak sering menjadi pilihan ramai," tegas Fazley.

Dalam pada itu, Fazley sempat menegur segelintir golongan profesional (cef) supaya tidak terlalu mencari salah pembuat konten dengan alasan untuk mendidik mereka.
Malah, juara program MasterChef Selebriti Malaysia 2012 itu melihat pencipta kandungan di negara ini wajar diberi peluang untuk 'berkarya'.
"Bagilah mereka peluang brother!
"Nak masak rendang masuk 'oven' pun jadi, nak buat kek pakai buluh lemang pun boleh. Itu sahajalah nak pesan," katanya.
Sebab tu pencipta kandungan memasak sering menjadi pilihan ramai.
Datuk Fazley Yaakob
Terdahulu, Fazley tampil mempertahankan pempengaruh masakan iaitu Che Sayang yang dikecam netizen selepas sebuah video masakannya dikritik kerana dianggap tidak sempurna.
Perkongsian Fazley menarik perhatian netizen yang rata-rata bersetuju supaya pembuat konten diberikan ruang dan peluang untuk berkarya mengikut kreativiti sendiri.
Menurut Fazley, tidak timbul masalah jika seseorang pembuat konten masakan menghasilkan juadah dengan cara dan resipi mereka sendiri serta tidak menepati teknik profesional.