Membanggakan! Dua kedai kopi Malaysia masuk 'ranking' World's 100 Best Coffee Shops
KINI semakin ramai memilih kafe tempatan yang menghasilkan kopi dan matcha berkualiti setanding jenama terkenal dunia.
Maka tidak hairan kafe yang menyediakan aneka menu muncul bagaikan cendawan selepas hujan bagi memenuhi permintaan dan kehendak pelanggan.
Bagaimanapun apa yang paling membanggakan apabila dua kafe estetik tempatan, ONO Specialty Coffee & Matcha dan Coffee Stain by Joseph mencipta sejarah membanggakan apabila masing-masing menduduki tempat kelapan dan 84 dalam senarai The World's 100 Best Coffee Shops 2026 (100 Kedai Kopi Terbaik Dunia 2026).
Pada 2025 ONO Specialty Coffee menduduki tempat kesembilan dan nampaknya tahun ini berjaya naik satu anak tangga dalam pertandingan kopi terbaik dunia itu.

Tersembunyi di kawasan kejiranan SS2, Petaling Jaya, kafe ONO bukan sekadar tempat menikmati minuman berkafein sebaliknya persis makmal kreatif untuk membancuh minuman.
Terkenal kerana minuman signatur 'When Two Worlds Collide', gabungan berani antara matcha dan tonik espresso, ONO membawa peminat kopi dan teh lokal ke tahap baharu dan futuristik.
MENARIK DIBACA: [V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
MENARIK DIBACA: Ambil iktibar kisah 3 individu mengalah, serah makanan iftar kepada sekeluarga lewat tiba di masjid
Gabungan elemen buah citrus dari Jepun, sirap ros dan matcha untuk minuman hijau pastel, Yuzu Rose Matcha juga membuatkan ONO menonjol dengan rasa membangkit aura romantis.
Boleh dikatakan, setiap tegukan seleksi minuman di kafe itu adalah seni dengan cerita tersendiri untuk dinikmati.
ONO juga mewakili gelombang baharu dalam kalangan pencipta minuman kerana tidak takut mencuba, bereksperimen bahkan mencampurkan elemen tradisi dengan moden.

Dari secawan kopi dan teh, ONO membawa landskap minuman lokal berkembang dengan gaya tersendiri.
Sementara itu, Coffee Stain by Joseph pula dikenali kerana 'spanish latte' yang dibuat daripada espresso dan susu pekat, menjadikannya lebih berkrim.
Ternyata gabungan rasa sedikit manis dengan aroma kopi kuat memberikan tenaga kepada pencinta minuman itu.
Tidak kurang hebat, minuman klasik, 'ice latte' turut menjadi signature kafe itu kerana espresso yang dihasilkan dikatakan lebih lembut dan seimbang.
Selain kopi, kafe itu turut menawarkan menu sarapan lewat pagi seperti 'souffle pancake', 'eggs benedict' dan 'big breakfast' menjadikannya tempat popular untuk 'brunch date'.