Konflik Asia Barat: Tiada rumah terbuka Aidilfitri anjuran agensi kerajaan, GLC dan GLIC
SEMUA agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diarah untuk tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan langkah itu diambil agar semua pihak lebih berhati-hati dalam soal perbelanjaan.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, antaranya berpunca daripada konflik peperangan di Asia Barat.

“Sebagai petanda supaya pimpinan memulakan langkah yang lebih positif, saya bersama jemaah menteri memutuskan semua agensi kerajaan, GLC dan GLIC tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri.
“Ini juga bagi memberi mesej supaya perbelanjaan dibuat dengan lebih cermat dan sederhana,” katanya.
Katanya, walaupun bekalan barangan asas masih terkawal, keputusan itu tetap dibuat sebagai langkah berjaga-jaga sepanjang konflik sedang berlaku.
MENARIK DIBACA: Berita baik menjelang Ramadan, Kerajaan kaji kemungkinan masukkan barangan basah dalam senarai Sara
MENARIK DIBACA: Bajet 2026 sasar pengapungan harga ayam, kerajaan komited perkukuh industri halal negara
"Ada yang bertanya, kalau keadaan masih terkawal dan barang keperluan seperti minyak dan gas boleh disediakan, apa keperluannya?
"Kita perlu waspada dan berjimat. Ini langkah yang waras supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah," jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan ingin para pemimpin negara menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dengan mengamalkan gaya hidup dan perbelanjaan yang lebih sederhana.