KUALI | Trending

Nasi lemak ditukar nama kepada Nanyang Coconut Rice, netizen Malaysia lancar 'perang'

Lead Image

NASI lemak merupakan salah satu hidangan kebanggaan rakyat Malaysia, malah cukup popular dan menjadi kegemaran pelancong luar negara. 

Hidangan ini sering diangkat sebagai sajian kebangsaan Malaysia kerana keunikan rasa, aroma santan serta sambalnya.

Bagaimanapun timbul persoalan apabila laman ASIAN Story & Heritage didakwa bertindak menukar nama hidangan ikonik itu kepada ‘Nanyang Coconut Rice’.

Lebih mengejutkan, sajian itu dikatakan berasal dari Singapura apabila emoji bendera negara itu diletakkan bersama dalam hantarannya.

Perkongsian laman ASIAN Story & Heritage menerima kecaman ramai.

“Nanyang Coconut Rice dimasak bersama santan dan biasanya daun pandan, membuatkannya kaya dengan rasa, wangi dan sedikit manis.

“‘Nanyang’ bermaksud Laut Selatan dalam bahasa Cina dan secara sejarahnya merujuk kepada Asia Tenggara, jadi stail nasi ini menunjukkan tradisi kulinari Asia Tenggara.” tulisnya.

Hantaran tersebut disertakan gambar hidangan yang lengkap dengan nasi, sambal, ikan bilis dan kacang goreng, timun serta telur rebus.

Berdasarkan pemerhatian, ia jelas menyerupai sepinggan nasi lemak lengkap yang banyak dijual di serata Malaysia.

MENARIK DIBACA: "Nasi lemak hilang identiti tak pula siapa tegur" - Zhiddin Aziz kesal sajian warisan diabai, menu Barat dipertahan

MENARIK DIBACA: Food truck rakyat Malaysia kena serbu di NZ, nasi lemak bebas gluten kegemaran pelanggan

Cuma lauknya sedikit berbeza apabila menggunakan hirisan ayam goreng tepung.

Dalam pada itu, hantaran tersebut turut menyatakan bahawa sajian itu merupakan gabungan pelbagai pengaruh budaya yang mencerminkan masyarakat di Singapura. 

“Latar kulinari Singapura mencerminkan kepelbagaian budayanya, yang menggabungkan pengaruh Cina, Melayu, India dan Barat dalam landskap makanannya. 

“Keistimewaan tempatan sentiasa menggabungkan bahan dan teknik merentas budaya. Contohnya ketam cili menyatukan tradisi makanan laut Cina dengan sambal pedas Melayu,” ujarnya lagi.

Netizen Malaysia menyifatkan tindakan itu sebagai mengubah sejarah.

Perkongsian itu akhirnya mencetuskan perbincangan hangat netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dan mengecam tindakan laman tersebut menukar nama nasi lemak.

Malah ramai menyangkal dakwaan nasi lemak berasal dari tradisi China, sambil mendakwa tindakan ini sebagai cubaan mengubah sejarah.

“Sejak bila nasi lemak jadi Nanyang Coconut Rice? Tak perlu nak padam sejarah.

"Ya boleh ubah namanya kepada apa saja yang kamu suka, tapi satu dunia tahu nasi lemak adalah nasi lemak.

"Nanyang Coconut Rice secara asasnya adalah nasi lemak. Cuma namanya berbeza lebih kedengaran seperti Cina. Di China, orang-orang di sana pun cari nasi lemak dimasak oleh cef Malaysia.

“Di Malaysia, orang Melayu masih jual yong tau foo dengan nama asalnya sebagai tanda hormat kepada asal usul makanan tu,” antara komen netizen.

Asal usul nasi lemak

Ramai sejarawan makanan percaya nasi lemak berasal dari kampung-kampung Melayu di kawasan seperti Johor, Selangor dan Melaka.

Hidangan ini pada asalnya merupakan makanan sarapan bagi petani dan nelayan.

Catatan sejarah awal

Antara rujukan awal tentang nasi lemak muncul dalam buku The Circumstances of Malay Life pada tahun 1909. Buku ini menyebut nasi lemak sebagai makanan orang Melayu ketika itu.

Kenapa wujud dalam kehidupan masyarakat Melayu?

- Kelapa banyak di kawasan tropika, santan mudah diperoleh.

- Padi adalah makanan ruji masyarakat Melayu.

- Daun pandan digunakan untuk memberi aroma wangi.

- Sambal memberi tenaga dan selera makan pada waktu pagi.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

5 cili boh viral pilihan pengguna, masakan sedap macam dikisar sendiri

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Wanita terharu jumpa nasi goreng cili kering tumbuk dimasak seikhlas hati, rupanya ramai iktiraf sedap!

Terhangat