Wanita terharu jumpa nasi goreng cili kering tumbuk dimasak seikhlas hati, rupanya ramai iktiraf sedap!
BANYAK juga makanan yang dijual di bazar Ramadan dihujani kritikan dan kecaman netizen.
Ada yang kurang sedap, ada yang harga mahal, malah yang tak jaga kualiti dan kebersihan pun ada!
Tapi jangan risau, bukan semua macam tu. Masih ada peniaga yang masak ikhlas dan sedap, buat kita rasa puas hati bila beli.
Seperti mana yang berlaku kepada @Diann.dianz yang membeli menu 'rare' nasi goreng cili kering tumbuk dekat Bazar Sungai Dua, Pulau Pinang.

Menurutnya, dia sangat berterima kasih kepada penjual yang disifatkan masih memasak dengan penuh dedikasi, walaupun menjualnya hanya pada harga RM4 sebungkus.
“Kepada acik yang niaga nasi goreng cili kering tumbuk ni dekat Bazar Sungai Dua, Penang, sebelah dengan kedai pulut udang.
"Terima kasih niaga ikhlas dan buat sedap. Terima kasih bagi orang penat macam saya ni… rasa bahagia sikit hari ni,” tulisnya.
Tambahnya, dia terpanggil untuk singgah di gerai makcik tersebut selepas kecewa dengan beberapa sajian yang dibeli dari bazar Ramadan.
MENARIK DIBACA: Dua tahun buat eksperimen tapak, peniaga dedah realiti mengejutkan bisnes bazar Ramadan
MENARIK DIBACA: Cuaca tak menentu jejas jualan, ini cabaran peniaga bazar Ramadan
“Hari tu saya pergi bazar, beli tiga empat jenis tapi Allahu… rasa macam tak nak pergi bazar dah. Tapi kadang hari penat kerja, bazar je la memudahkan,” ceritanya di Threads.
Di ruangan komen, dia terkejut apabila ramai netizen tampil dan mengaku pernah mencuba nasi goreng cili tumbuk di gerai sama serta 'sepakat' menyatakan keenakannya.
“Ni kedai nasi goreng cili tumbuk tu ke? Tahun lepas kat Bazar Sungai Dua ada yang jual nasi goreng tumbuk, memang sedap nasi goreng dia.
“Mak saya dengan saya suka sangat, rasa dia cukup… tak payah 'fancy-fancy', yang ni memang macam kita masak nak makan sendiri.

“Nampak sedap la… dia letak lauk apa? Bilis ke, pecah telur ke? Nak 'try' buat la malam ni… nak pi jauh pula.
"Nasi goreng tu sedap, ramai orang beratur beli kat situ. Marketing diaorang siap ada lagu lagi, nasi goreng cabai tumbuk," antara komen netizen.
Menurut wanita ini, pada hari biasa peniaga berniaga di sebelah Masjid Kubang Semang bermula dari selepas subuh hingga 1 tengah hari.
Perkongsian ini sebenarnya menyedarkan kita bahawa pelanggan tidak patut pukul rata semua peniaga disebabkan ada segelintir yang tidak bertanggungjawab.
Realitinya masih ada yang menjaga rasa, servis dan harga dengan baik.