Belanja RM1,500 untuk 'jajan' anak buah jadi tradisi raya, keluarga gembira adalah 'bahagia' sebenar!
BERKONGSI rezeki di musim perayaan bersama keluarga sememangnya memberi makna cukup mendalam, lebih-lebih lagi apabila ia mampu mencipta kegembiraan buat insan tersayang.
Itulah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads dikenali sebagai Hazrey Muhd Yazid, yang menjadikan amalan membeli jajan (snek) sebagai tradisi setiap kali Aidilfitri.
Menurutnya, dia akan memperuntukkan kira-kira RM1,500 khusus untuk membeli pelbagai makanan kegemaran kanak-kanak seperti ayam goreng, sosej, nuget dan makanan segera untuk dinikmati anak-anak saudaranya.

"Saya ada enam beradik. Adik bongsu perempuan dan keluarga dia (adik perempuan) sederhana dengan tujuh anak. Adik ipar kerja kampung je.
"Selalu selepas beli jajan dan habis makan anak dia yang sulung tu dipanggil 'Atie' akan tarik tangan saya ucap 'terima kasih Pak Ngah beli jajan. Kami jarang nak minta kat ayah nak dapat makan macam ni'.
"Anak saudara saya ni amat cermat dalam semua perkara. Umur baru 15 tahun, kalau ucap terima kasih mesti pegang tangan, rasa penuh je terima kasih tu meresap ke jiwa," ceritanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap pemurah lelaki itu yang tidak berkira untuk membantu keluarga, malah ada yang turut berkongsi pengalaman sama.

"Sama macam saya bersama adik-beradik lain membesarkan anak saudara kehilangan bapa, termasuk menaja barangan hantaran perkahwinannya. Setiap kali ada rezeki lebih, mesti nak belikan sesuatu untuk dia. Sekarang dia dah ada tiga anak, memang sayang sangat dekat mereka.
"Saya dan pasangan tak ada anak jadi anak-anak saudara keutamaan. Tak kisah berapa habis untuk mereka. Bila tengok mereka hargai, hilang terus penat kerja. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah untuk dikongsi,” komen netizen.
Perkongsian tersebut membuktikan bahawa kegembiraan sebenar Aidilfitri bukan terletak pada kemewahan semata-mata, tetapi pada keikhlasan berkongsi rezeki dan kasih sayang sesama keluarga.
