Dapur mudah alih tiba-tiba meletup, sekeluarga beraya di hospital
SUASANA raya sepatutnya meriah bertukar duka apabila satu keluarga berdepan kejadian tidak diingini melibatkan insiden penggunaan periuk mudah alih.
Perkongsian pengguna Threads dikenali sebagai Aiman Razlyn, nyata meruntun hati ramai apabila menceritakan detik cemas yang berlaku terhadap mereka pada malam raya.
Menurut Aiman, kejadian tersebut berlaku ketika mereka sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan terakhir juadah raya.
"Dapur mudah alih menyebabkan kami sekeluarga beraya di hospital. Kejadian berlaku di malam raya.

"Ketika kami sedang menyiapkan juadah raya. Dalam proses menyiapkan, tiba-tiba periuk mudah alih meletup dan menyebabkan kami sekeluarga ditimpa musibah.
"Antara menu disediakan termasuk roti jala. Namun, dalam suasana kelam-kabut menyiapkan hidangan, periuk mudah alih digunakan secara tiba-tiba meletup tanpa sebarang amaran," kongsinya.
Kongsinya, letupan itu mengakibatkan kecederaan serius kepada ahli keluarganya.
"Saya sendiri mengalami patah dua jari kaki, menerima lebih 15 jahitan serta melecur ringan.
"Manakala isteri pula melecur seluruh muka dan dua tangan. Anak perempuan saya melecur kedua belah kaki," tulisnya lanjut.
MENARIK DIBACA: Lebihan nasi impit boleh buat lontong goreng, tetamu mesti teruja tiada di rumah orang lain
MENARIK DIBACA: Semua sedap, takkan nak tengok je! Ini 7 tip pemakanan masa raya sambil 'jaga perut'
Kejadian itu bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, malah turut memberi impak terhadap emosi mereka seluruh keluarga.
"Anak sentiasa mengalami mimpi kejadian ini dan isteri masih terasa sedih dengan keadaan berlaku.
"Sebagai sorang ayah dan suami, sokongan moral dan kata-kata semangat untuk mereka (anak dan isteri) menempuhi dugaan ini walaupun saya turut mengalami trauma," kongsinya lanjut
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi warga maya yang bersimpati dan mendoakan keluarga itu.

"Ya Allah beratnya ujian satu keluarga. Semoga semua cepat sembuh secara mental dan fizikal.
"Dapur mudah alih sesuai untuk rebus air atau masak mi segera je. Malam raya masak apa? Rendang pakai ni ke?
"Salam takziah tuan sekeluarga. Saya doakan semoga tuan diberikan kesembuhan dan ketabahan atas ujian Allah ini," komen netizen.
