Adik beradik nak makan sedap masa raya, tapi 'liat' hulur duit beli barang? Cara ini mungkin membantu
AIDILFITRI memang waktu terbaik untuk aktiviti ziarah menziarahi, berkumpul bersama saudara mara dan beraya bersama rakan-rakan.
Dalam kemeriahan itu, kadang-kadang tuan rumah pening kepala juga bila kena sediakan macam-macam makanan untuk tetamu yang datang tanpa henti.
Lebih memeningkan kepala, ada juga ahli keluarga yang culas atau berkira bab perbelanjaan walaupun tetamu yang datang adalah jemputan mereka sendiri.

Perkara sebegini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati, malah boleh mencetuskan ketegangan hingga ada yang bermasam muka disebabkan wang.
Berkongsi cara keluarganya mengelakkan 'drama' disebabkan duit, seorang wanita mendedahkan pendekatan santai diamalkan oleh ibunya setiap kali musim perayaan.
“Ramai yang gaduh adik-beradik tak share (duit) beli barang dapur untuk beraya rumah mak. Mak aku simple je.
“Beli dan makan apa yang ada sahaja. Kalau abang atau kakak nak jemput kawan mereka datang, fikir sendiri siapa nak masak atau beli lauk,” katanya.
MENARIK DIBACA: Lebihan nasi impit boleh buat lontong goreng, tetamu mesti teruja tiada di rumah orang lain
MENARIK DIBACA: Semua sedap, takkan nak tengok je! Ini 7 tip pemakanan masa raya sambil 'jaga perut'
Menurut wanita itu lagi, ibunya tidak pernah membebankan atau meminta secara langsung daripada anak-anak untuk menyediakan juadah tambahan.
Sebaliknya, setiap anak disarankan untuk menyediakan bahan memasak sendiri sekiranya mahu hidangan lebih meriah.
“Nak rasa rendang daging, lemang, ayam serba serbi lauk pagi raya, belilah bahan. Mak aku masak.
“Kalau tak ada cakap apa-apa, mak aku senyap buat tak tahu je. Setenang itu hidup dia. Tak ada 'drama' mak minta itu ini yang perlu dipenuhi musim raya,” katanya.

Di ruangan komen, rata-rata netizen menyokong pendekatan tersebut yang disifatkan lebih adil dan tidak membebankan mana-mana pihak.
“Bagusnya ibu bapa macam ni, tak menekan.
“Setuju dengan cara mak awak, makan je apa yang ada. Nak sedap, beli bahan dan masak sama-sama," antara komen netizen.
