Nangka punca angin dalam badan? Doktor tampil betulkan salah faham
SEJAK dahulu lagi, buah nangka selalu dianggap menjadi punca angin dalam badan sehingga ramai percaya bahawa buah tropika terbesar di dunia itu boleh menjadi punca masalah kembung dan sakit perut.
Namun hakikat sebenarnya, buah nangka bukanlah punca kepada masalah angin dalam badan, bahkan buah tersebut tidak mengandungi angin seperti yang disangka ramai orang.
Menerusi perkongsian seorang pengamal perubatan di kenali sebagai Dr. Imelda Balchin dalam Threads miliknya, dia meminta orang ramai untuk berhenti daripada memfitnah buah nangka yang dikatakan menjadi punca angin dalam badan.

"Kalau awak makan nangka dapat sakit perut dan kentut-kentut (angin), maknanya awak ada masalah penghadaman dan kena pantang nangka.
"Di dalam buah nangka tidak ada angin tau.
"Awak yang tidak boleh hadam nangka, maka bakteria di dalam usus awak hasilkan banyak gas. Jangan fitnah buah nangka," ujarnya.
Tambah Dr. Imelda, individu yang mengalami gejala angin dalam badan adalah kerana mereka sebenarnya mempunyai masalah sistem penghadaman yang tidak sempurna.
MENARIK DIBACA: Azizul Ammar tak cerewet bab makan, sardin dan telur kicap pun dah cukup!
MENARIK DIBACA: Cari segera 2 minuman ini jika seseorang terkena strok haba
"Yang bermasalah adalah sistem penghadaman awak yang tak sempurna sampai terkentut-kentut.
"Orang lain makan nangka tiada masalah pun," tulisnya.
Dalam ruangan komen, ramai pengikut meninggalkan komen bersetuju dengan pendapat Dr. Imelda apabila menganggap nangka bukanlah punca utama masalah angin dalam badan, sebaliknya ia bergantung pada tahap kesihatan tubuh seseorang.

"Lain badan, lain tindak balasnya. Kasihan pada nangka.
"Setuju! Saya makan nangka okey jer. Tak pernah ada anggapan makanan akan jadi angin.
"Alhamdulillah setakat ini kalau makan nangka okey jer," tulis netizen.

Untuk info, nangka berasal dari India dan terkenal dengan kulit kasar dan aromanya yang tajam.
Isi nangka berwarna kuning, manis dan bertekstur lembut sering dimakan terus, manakala nangka muda pula boleh dibuat masakan gulai atau lemak.
Nangka merupakan buah yang kaya dengan vitamin A, C, serat dan antioksidan.
