Mengopi sambil jaga alam! Brazil cipta 'cawan benih', pokok tumbuh lepas dibuang atau ditanam
DALAM usaha menangani masalah sisa plastik yang semakin membimbangkan, satu inovasi menarik dari Brazil mencuri perhatian apabila cawan kopi direka dengan biji benih di dalamnya membolehkan ia 'hidup' selepas digunakan.
Idea unik itu bukan sekadar mesra alam, malah memberi pendekatan baharu dalam cara manusia melihat sisa harian daripada bahan buangan kepada sesuatu boleh memberi manfaat kepada alam sekitar.
Apa yang menjadikan konsep itu lebih menarik, cawan tersebut diperbuat daripada bahan terbiodegradasi mudah terurai secara semula jadi tanpa mencemarkan tanah atau air.

Selepas digunakan, pengguna hanya perlu menanam cawan itu dalam tanah. Dalam tempoh tertentu, struktur cawan akan mula terurai, manakala biji benih terkandung di dalamnya akan mula bercambah menjadi tumbuhan baharu.
MENARIK DIBACA: Wanita serik makan belangkas, ramai tampil kongsi pengalaman hitam serupa
MENARIK DIBACA: Wanita tukar susu badan jadi serbuk, sangat memudahkan urusan - "Keputusan terbaik pernah saya buat"
Pendekatan berkenaan bukan sahaja mengurangkan jumlah sampah, tetapi menggalakkan lebih banyak kawasan hijau terhasil secara semula jadi daripada aktiviti harian manusia.

Konsep minum kopi, tanam cawan itu dilihat sebagai langkah kreatif menggabungkan gaya hidup moden dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar, menjadikan setiap cawan kopi diminum mempunyai 'kesan kedua' lebih bermakna.
Inisiatif seperti itu juga membuka mata banyak pihak bahawa inovasi kecil dalam produk harian boleh memberi impak besar kepada kelestarian bumi jika diaplikasikan secara meluas.
Jika cawan kopi hanya berakhir di tong sampah, kini ia berpotensi bertukar menjadi pokok hidup satu perubahan cukup simbolik dalam usaha mengurangkan pencemaran global.