Teknik ‘no oil no butter’ jadi trend, makanan sihat dimasak influencer buat ramai terliur
SEBELUM ini ramai menganggap makanan sihat adalah dengan memperbanyakkan sayur dalam masakan, namun kaedah memasaknya jarang menjadi perhatian.
Tak kisah sama ada ditumis, digoreng atau dipanggang, yang penting sayur-sayuran ada dalam hidangan harian.
Seorang pempengaruh dari Amerika Syarikat (AS), Rabeya Khatun kini mencuri perhatian ramai apabila berkongsi kaedah masakan lebih sihat tanpa menggunakan minyak mahupun mentega.
Cara memasak ini bukan sahaja unik malah kini mula menjadi trend dalam kalangan pengguna media sosial yang ingin mencuba gaya hidup lebih sihat.

Menurut Rabeya, rahsia keenakan masakannya terletak pada penggunaan protein seperti ayam, daging atau ikan yang mampu menghasilkan lemak semula jadi ketika dimasak.
Lemak tersebut secara tidak langsung membantu menaikkan rasa hidangan tanpa perlu menggunakan minyak tambahan.
“Ini sebab saya tak guna minyak dalam masakan saya. Saya nak semua bahan keluarkan perisa semula jadi dalam bentuk asalnya.
“Lepas dah masak, ayam akan keluarkan lemak yang tambahkan rasa sedapnya,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
MENARIK DIBACA: Influencer kurus amal ‘lalapan platter’, bukti ulam-ulaman pun boleh turunkan berat badan
MENARIK DIBACA: Susah fokus, jadi pelupa... Ini 5 makanan bantu tangani masalah ‘brain fog’
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai, malah ada yang sudah mencuba sendiri resipi berkenaan dan mengakui masakan tetap sedap walaupun tanpa minyak.
Tidak kurang juga yang melihat kaedah ini sebagai alternatif lebih sihat terutama bagi mereka yang sedang mengawal pengambilan lemak harian.
Bagi anda yang ingin mencuba, ini antara resipi sayuran ringkas yang dikongsikan Rabeya:
- Potong sayur sayuran pilihan misalnya ubi kentang, keledek, lobak, bawang merah atau daun seleri kepada saiz sederhana.
- Masukkan protein pilihan seperti ayam, daging atau ikan.
- Perasakan dengan garam secukupnya, dua sudu serbuk kunyit dan lada hitam.
- Tambah sedikit air, kemudian tutup periuk dan biarkan masak selama 20 hingga 30 minit sebelum siap dihidang.