Dari filem ke meja makan... Ketahui sejarah kek gergasi Matilda, kaya rasa coklat premium
BAGI pencinta coklat, melihat sepotong kek Matilda tinggi dengan lapisan ganache meleleh pasti cukup membangkitkan selera.
Teksturnya yang lembut dan kaya rasa coklat, kek ini kini menjadi antara pencuci mulut paling popular di media sosial.
Bagaimanapun ramai mungkin tidak tahu bahawa kek yang sering menjadi tumpuan di kafe dan kedai bakeri ini sebenarnya mempunyai kisah unik bermula dengan sebuah filem kanak-kanak terkenal pada era 1990-an.
Kek Matilda mendapat namanya daripada filem Matilda yang ditayangkan pada 1996, adaptasi daripada novel karya Roald Dahl.

Popularitinya tercetus menerusi satu babak ikonik masih diingati ramai sehingga hari ini.
Dalam adegan tersebut, Bruce Bogtrotter diarahkan menghabiskan sebiji kek coklat gergasi di hadapan seluruh warga sekolah sebagai satu bentuk hukuman.
Walaupun adegan berkenaan bertujuan memberikan pengajaran kepada Bruce, namun kek coklat tebal dan mewah itu pula yang berjaya mencuri perhatian penonton.
MENARIK DIBACA: Cepat letih, stamina lemah! Ini 5 makanan baik untuk lelaki ada 'isu' hormon testosteron
MENARIK DIBACA: Sekilas pandang macam kelopak mata, wanita 'seram' jumpa benda asing aneh dalam daging kisar
Sejak itu, ramai penggemar makanan mula mengaitkan kek coklat bersaiz besar dan penuh lapisan ganache dengan filem berkenaan, lalu lahirlah gelaran ‘Kek Matilda’.
Keistimewaan kek ini terletak pada lapisan sponge coklat tebal, lembut dan lembap.
Rasa coklatnya juga lebih menyerlah kerana kebanyakan resipi menggunakan serbuk koko dalam kuantiti banyak bagi menghasilkan rasa lebih pekat.
Di antara setiap lapisan kek pula disapu ganache coklat diperbuat daripada campuran coklat dan krim.
Lapisan ganache itu biasanya disapu dengan agak tebal sehingga memberikan tekstur memuaskan bagi penggemar coklat tegar.
Bagi meniru penampilan asal dalam filem, Kek Matilda lazimnya dibuat dalam saiz tinggi dengan beberapa lapisan.
Bahagian luar kek turut disaluti frosting sebelum ditambah ganache cair yang menitis di sisi kek, menjadikannya kelihatan lebih mewah dan menggoda.

Ada juga pembuat kek menambah buttermilk atau sedikit kopi panas ke dalam adunan bagi menguatkan lagi aroma serta rasa coklat.
Teknik ini membantu menghasilkan kek lebih lembut dan rasa lebih mendalam.
Walaupun bahan asasnya tidak jauh berbeza daripada kek coklat biasa, gabungan visual dramatik serta kisah di sebalik namanya menjadikan Kek Matilda mempunyai identiti tersendiri.
Tidak hairanlah ia terus menjadi pilihan ramai, sama ada untuk sambutan istimewa mahupun sekadar memuaskan keinginan menikmati pencuci mulut yang kaya dengan rasa coklat.