Pegang bakul 'pink' di pasar raya petunjuk pelanggan bujang, terbuka untuk berkenalan
SIAPA sangka aktiviti membeli barang dapur di pasar raya boleh menjadi peluang untuk mencari pasangan?
Biasanya, pasar raya menjadi lokasi untuk mendapatkan keperluan harian tetapi di Finland premis itu turut membuka ruang perkenalan atau tempat cari jodoh.
Beberapa pasar raya di negara itu memperkenalkan idea menarik apabila menyediakan bakul membeli-belah berwarna merah jambu khas untuk pelanggan bujang dan terbuka untuk mengenali seseorang.
Bakul itu menjadi simbol atau petunjuk kepada pelanggan lain bahawa pemegangnya bersedia untuk menerima teguran atau memulakan perbualan dengan pelanggan lain.
Dikenali sebagai 'sinkkukori' atau 'bakul bujang', konsep itu memberi pilihan kepada individu yang masih solo untuk menunjukkan status mereka tanpa perlu menggunakan aplikasi mencari pasangan atau berterus-terang mengenai status diri mereka.

Caranya cukup mudah apabila pelanggan hanya perlu memilih bakul merah jambu berbanding bakul biasa ketika membeli-belah.
Warna tersebut menjadi isyarat bahawa mereka tidak keberatan jika ada orang lain cuba berkenalan.
Bagaimanapun, inisiatif ini bukan bermaksud semua pemegang bakul merah jambu mahu mencari pasangan secara serius.
MENARIK DIBACA: 15 mi segera terbaik di dunia, dari Malaysia pun masuk 'ranking'
MENARIK DIBACA: Lelaki 'nobat' ayam gepuk makanan paling 'overrated'! Biasa je, tak layak pun dipuji
Ia lebih kepada satu cara santai untuk membuka ruang kepada perbualan dan hubungan baharu.
Fenomena itu mula mendapat perhatian ramai selepas beberapa video tular memaparkan kewujudan bakul tersebut di pasar raya Finland.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga maya yang menyifatkannya sebagai idea kreatif dan platform untuk bertemu orang baharu dalam kehidupan seharian.

Berbeza dengan aplikasi dating yang memerlukan pengguna membuat profil dan memilih calon melalui skrin telefon, konsep bakul merah jambu ini mengembalikan cara berkenalan secara lebih semula jadi melalui pertemuan secara berdepan.
Walaupun menarik perhatian dunia, laporan media menjelaskan penggunaan bakul berkenaan masih terhad di beberapa pasar raya tertentu sahaja dan bukan satu amalan di seluruh Finland.
Malah, ada juga penduduk tempatan yang terkejut apabila mengetahui perkara itu menjadi tular kerana mereka sendiri tidak pernah melihatnya sebelum ini.
Walaupun begitu idea ini tetap mencuri perhatian kerana ia mengubah pengalaman membeli-belah biasa menjadi satu peluang untuk membina hubungan baharu.
Mungkin selepas ini, lorong sayur-sayuran atau rak barang dapur bukan sekadar tempat mencari keperluan harian tetapi juga lokasi bermulanya sebuah perkenalan.