Dimasak guna teknik 'nyemek', asal usul mie Bangladesh di Medan cukup menarik!
KALAU di Malaysia kita ada mi bandung yang namanya cukup sinonim dengan hidangan berkuah merah dan pedas, di Medan, Indonesia pula ada mie Bangladesh.
Tapi jangan terkejut, sama seperti mi bandung yang tidak semestinya berasal dari Bandung, hidangan mie Bangladesh juga sebenarnya bukan makanan dari negara tersebut.
Mi yang popular di Medan ini mempunyai kisah tersendiri di sebalik namanya, selain terkenal dengan cara masak 'nyemek' iaitu berkuah tidak terlalu banyak, tetapi kaya dengan rempah, pedas, pekat dan rasa yang cukup menonjol.
Persoalannya, kenapa dipanggil Mie Bangladesh kalau bukan berasal dari Bangladesh?
Rupanya ada cerita menarik di sebalik nama tersebut!

Menurut salah satu versi yang diceritakan, nama tersebut dikaitkan dengan seorang penjual mi yang dikenali dengan nama Bang Lades.
Disebabkan mi yang dimasak sangat sedap, pelanggan kerap menyebut hidangan tersebut sebagai mi Bang Lades.
Sebutan 'Bang Lades' kemudian menjadi semakin berkembang sehingga nama 'Bangladesh' terus melekat dan digunakan untuk hidangan mi berkenaan sampailah sekarang.
MENARIK DIBACA: Pemuda OKU pendengaran jadi barista di kafe sendiri, hasilkan kopi istimewa di Silent Brew
MENARIK DIBACA: Buat sendiri jeli kesihatan guna lemon, kunyit dan halia... Snek enak, bantu kulit 'glowing'
Terdapat satu lagi kisah yang dikaitkan dengan asal-usul nama mie Bangladesh.
Dikatakan, dahulu tukang masak dan penjual rempah di Medan memiliki perwatakan atau wajah yang mirip dengan masyarakat di bahagian Asia Selatan, tepatnya di Bangladesh atau India.
Ditambah lagi, rempah khas Aceh yang digunakan sangat pekat dan kuat, sama seperti cita rasa dengan masyarakat di Bangladesh dan India.
Bercakap tentang hidangan itu sendiri, mi Bangladesh dimasak dengan gaya dan keunikan tersendiri.

Hidangan ringkas itu biasanya dimasak secara 'nyemek', iaitu basah tetapi tidak terlalu berkuah .
Sebagai pelengkap, mi Bangladesh disajikan bersama telur 'goyang' dan campuran rempah yang menghasilkan rasa pedas, pekat serta penuh aroma.
Harga sepinggan mi Bangladesh yang dijual juga boleh dikatakan murah iaitu sekitar 15,000 Rupiah hingga 25,000 Rupiah atau setara RM3.43 hingga RM5.72 untuk sajian biasa.
Manakala sepinggan mi Bangladesh 'special' pula berharga antara 28,000 rupiah hingga 38,000 rupiah (RM6.41 hingga RM8.70)
Jadi, kalau berkunjung ke Medan dan ternampak Mie Bangladesh, jangan pula ingat perlu terbang ke Bangladesh untuk menikmatinya!