Kuali berwajah baharu secara rasmi dilancar, 'hidang' kandungan kulinari lebih mantap dan meluas
SELEPAS 27 tahun kekal sebagai portal resipi berbahasa Inggeris, Kuali kini melalui proses penjenamaan semula dengan memperkenalkan wajah baharu dan kandungan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.
Mengetengahkan tagline 'Lebih Daripada Resipi', laman web Kuali berwajah baharu ini secara rasmi mula menemui pembaca pada 1 Julai 2025 tampil lebih segar memenuhi peredaran masa dan kehendak audiens yang menginginkan kandungan kulinari lebih mantap dan meluas.
Pelancaran wajah baharu Kuali secara rasminya diadakan pada Majlis Rumah Terbuka Next Level anjuran Star Media Group Berhad (SMG) pada Rabu, di Saloma Kuala Lumpur.

Acara gimik disempurnakan oleh ikon kulinari yang juga cef selebriti terkenal tanah air, Datuk Dr Redzuawan Ismail (Datuk Cef Wan) dengan melakukan simbolik mengacau spageti udang banjir tomato Kimball yang 'dimasak' dalam kuali gergasi menggunakan bahan-bahan yang dipaparkan dalam bentuk 3D dengan teknik hologram.
Bersama Cef Wan dalam sesi itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Chan Seng Fatt, Ketua Pemasaran Kanan Serantau The Arnott’s Group, Vanessa Lim dan Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng. Ia turut disaksikan Ahli Lembaga Pengarah SMG Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang.
Selain dihadiri tetamu kehormat, majlis ini turut menghimpunkan rakan strategik, pengiklan, rakan industri, selebriti dan wakil media bagi meraikan gabungan tiga produk berbahasa Melayu bawah SMG termasuklah Suria dan mStar.
MENARIK DIBACA: Bapa 'kaki pancing', Farihin Arnia tak kisah makan 'seafood' 2 minggu berturut-turut
MENARIK DIBACA: Cuma guna gula... Ini cara simpan udang kekal segar berbulan-bulan, rasa tak terjejas
Ia juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-55 SMG pada tahun ini, sekali gus menandakan satu langkah strategik baharu dalam perjalanan syarikat.
Menurut Seng Fatt, penganjuran Rumah Terbuka Next Level mencerminkan komitmen syarikat untuk terus kekal relevan dalam landskap media yang semakin dinamik sempena ulang tahun ke-55 SMG.
“Bersempena ulang tahun ke-55 Star Media Group dengan tema Inspiring Progress, Shaping Tomorrow, kami melihat rumah terbuka ini sebagai masa yang tepat untuk melangkah ke tahap seterusnya.

"‘Next Level’ bukan sekadar tema, tetapi refleksi kepada bagaimana kami berkembang, berinovasi dan mencipta nilai yang lebih besar untuk rakan strategik dan klien kami,” katanya.
Menurut Seng Fatt, penjenamaan semula Kuali dalam Bahasa Melayu bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan produk-produk SMG tetapi pada masa sama diharapkan dapat mengangkat makanan sebagai medium penyatuan budaya dan komuniti Malaysia.
Dalam pada itu, seiring dengan pelancaran semula Kuali, Kimball turut teruja untuk berganding bahu bersama Kuali melalui penerbitan siri masakan 10 episod yang bertujuan membantu rakyat Malaysia menaik taraf hidangan harian — menjadikannya lebih istimewa dengan cara lebih mudah menggunakan produk Kimball.

Berpandukan janji 'Senang, Sedap & Berbaloi', Kimball terus membantu memudahkan penyediaan hidangan di rumah, menawarkan sajian yang enak dinikmati dengan nilai berbaloi untuk seisi keluarga.
Kimball ialah jenama makanan Malaysia, dikenali dengan rangkaian produk seperti pasta, sos pasta, sos masakan dan produk kulinari.
Jenama Kimball adalah sebahagian daripada The Arnott’s Group, sebuah syarikat makanan global.
Sejak dua tahun lalu, Kimball telah bekerjasama rapat bersama The Star, Suria dan mStar.

Kempen yang dilaksanakan bersama ini memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif berteraskan makanan.
Menerusi kempen dan acara seperti Rewang di Pusat Perumahan Rakyat (PPR), Resipi Jadi Rezeki di lokasi bazar serta Misi Bantuan Banjir, Kimball bersama rakan medianya komited dalam menyatukan komuniti dan memperkukuhkan semangat kebersamaan melalui makanan.