Wanita buat bolognese letak budu ganti sos worcestershire, Kelantan 'mendonia' - "Sedap sampai langit"
SIAPA sangka budu yang sinonim dengan masyarakat di Pantai Timur kini sudah ‘naik taraf’ apabila digunakan dalam masakan Barat.
Perkongsian seorang wanita di laman Threads mencuri perhatian ramai apabila dia mendedahkan menggunakan budu sebagai bahan rahsia dalam sos bolognese.
Menurutnya, idea tersebut timbul selepas dia terimbas tentang resipi asal sajian pasta itu menggunakan sos worcestershire yang dikatakan mempunyai rasa hampir sama dengan budu.

“Guys saya letak budu dalam kuah bolognese sebab resipi ni memerlukan sos worcestershire.
“Pernah baca orang British cipta sos tu sebab mereka cuba tiru rasa budu.
“Apa-apa pun sama ada cerita tu rekaan atau tak, sos bolognese saya memang sedap sampai ke langit. Rasanya sangat kompleks dan ‘deep’. Umami tu fuh memang padu, suami saya pun cakap sedap ‘anchovy sauce’ ha cubalah," tulisnya di Threads.
MENARIK DIBACA: Pelajar kolej 'gigit jari' beli penapis air terpakai... Rupanya sarang tikus, dah lama lingkup!
MENARIK DIBACA: Wanita tukar susu badan jadi serbuk, sangat memudahkan urusan - "Keputusan terbaik pernah saya buat"
Tidak lokek berkongsi, wanita itu turut memberikan resipi ringkas sos bolognese untuk mereka yang ingin mencuba.
Antara bahan digunakan termasuk bawang besar, bawang putih, cili padi, daging kisar dan sos bolognese segera.
Apa yang membezakannya dengan resipi orang lain ialah tambahan satu sudu besar budu sebagai ‘penambah rasa’.
Menurutnya, sedikit air rebusan pasta juga digunakan bagi membantu ‘mengikat’ sos agar lebih sebati.

Di ruangan komen, rata-rata netizen teruja dengan idea tersebut malah ada yang terus mencubanya di rumah.
"Dah cuba semalam dan ini kali pertama rumah saya ada budu. Semua sebab awak tapi memang menjadi!
“Saya rasa budu patut digunakan lebih meluas, macam orang Thai guna 'fish sauce'. Mungkin dah tiba masa kita bangga dengan MSG (penambah perisa makanan) kita sendiri," antara komen netizen.
Tidak kurang juga yang bersetuju bahawa rasa sos worcestershire sememangnya hampir sama dengan budu.
“Tapi worcestershire sauce tu memang sebiji rasa macam budu. Setiap kali orang hidang sos tu makan dengan piza saya mesti terfikir… ‘bakpo (kenapa) bagi budu makan dengan piza ni?
“Cuba tengok resipi Itali memang ada yang guna anchovy paste, lebih kurang macam budu je. Siap ada ‘Cap Budu Ketereh’ dalam tiub lagi. Kakak saya pun letak sikit budu dalam sos sebab ikut resipi ‘anchovy paste’. Piza sos pun kadang-kadang memang letak sikit atau guna 'salted anchovy',” komen netizen lain pula.
INFO SOS WORCESTERSHIRE
Sos worcestershire ialah perasa cecair yang berasal dari England, dihasilkan melalui penapaian ikan bilis, cuka, asam jawa dan rempah-ratus.
Ia mempunyai rasa umami yang kaya, masin, dan sedikit manis, menjadikannya perapan ideal untuk daging, penambah perisa dalam stew, serta bahan utama dalam sos burger dan koktel Bloody Mary.
Jika tiada sos worcestershire, sos soya, kicap cair atau sos ikan boleh digunakan sebagai alternatif.