Wanita buka kebun sayur untuk orang awam... Boleh petik sendiri, harga murah dari pasaran
BAGI mereka yang gemar berkebun, memang seronok jika ada tanah sendiri untuk diusahakan.
Walaupun tanah mungkin tidak begitu luas, namun jika dimanfaatkan sebaik mungkin, pasti akan ada hasilnya.
Selain untuk kegunaan sendiri, hasil yang dituai juga boleh menjadi sumber pendapatan sampingan jika dijual.
Seorang pengguna Threads, Fhadilah berkongsi tentang kebun sayur miliknya yang terletak di Kampung Kubang, Nilai, Negeri Sembilan.

Difahamkan kebun dengan keluasan 1.5 ekar itu telah diusahakannya sejak April tahun lalu selepas timbul kesedaran untuk bercucuk tanam apabila melihat pelbagai konflik global khususnya melibatkan sumber makanan.
Kongsi Fhadilah, kegiatan yang dilakukan itu bukan sekadar hobi semata-mata, malah diusahakan dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil memuaskan.
MENARIK DIBACA: Jangan buang air rebusan ikan! Wanita kongsi cara buat kolagen untuk kucing, boleh ganti 'wetfood'
MENARIK DIBACA: [V] Ramai sanggup beratur panjang demi nasi goreng 'simple', tukang masak tak menang tangan
Tidak hairanlah jika tanamannya nampak subur dan sihat dengan hasil seperti ulam-ulaman, timun, labu air, bendi, kacang panjang dan sayur maman.
Menariknya, kebun yang diusahakan itu juga dibuka kepada orang ramai yang ingin datang melawat tanpa sebarang bayaran masuk dari pukul 8 pagi hingga 6 petang
Malah orang ramai juga boleh membeli sayur-sayur segar yang ada di sana pada harga yang cukup berpatutan dan jauh lebih rendah dari harga pasaran.

Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman memetik sendiri sayur segar terus dari kebun, sesuatu yang jarang dirasai terutama untuk mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Selain memberi tawaran kepada orang ramai untuk mendapatkan sayur-sayuran segar, usaha yang dilakukan itu juga turut memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat proses penanaman sayur.
Harga sayur-sayuran:
- Kacang panjang - RM4.50/kg
- Bendi - RM5/kg
- Timun - RM2.50/kg
- Maman - RM10/kg
- Labu air - RM2/kg