Sejarah Gardenia bermula di Sabah, teknik fermentasi dan 'rehat' rahsia roti lembut
SIAPA sangka jenama roti popular, Gardenia sebenarnya bermula daripada usaha seorang lelaki dari Amerika Syarikat (AS) yang mahu memperkenalkan roti lembut berkualiti di Asia Tenggara.
Gardenia asalnya dibangunkan di Sabah pada 1969 oleh seorang pembuat roti berpengalaman dari AS Horatio Slocumm yang mempunyai kepakaran puluhan tahun dalam industri bakeri.
Difahamkan, dia datang ke Sabah dan bekerjasama dengan usahawan tempatan Datuk Wong Tze Fatt kerana mahu membuktikan roti benar-benar lembut dan gebu boleh dihasilkan di rantau ini.
Menurut perkongsian seorang lelaki dikenali sebagai Thinesh Rao di Threads, rahsia tersebut terletak pada proses penyediaan doh yang menggunakan kaedah fermentasi dan rehat selama kira-kira empat jam sebelum dibakar.

Proses itu membolehkan doh naik secara semula jadi sekali gus menghasilkan tekstur lebih lembut dan rasa yang lebih sedap.
"Tahu tak kenapa roti Gardenia ni rasa dia lain macam? Sebab diaorang guna kaedah 'sponge and dough'. Roti tu kena biarkan rehat and naik secara natural selama empat jam sebelum dibakar.
MENARIK DIBACA: Mandi air garam dan limau nipis baik untuk kesegaran tubuh, aura positif! Syirik jika niat tolak bala
MENARIK DIBACA: Tutup makanan, letak senduk atas lauk bukan suka-suka... Ada maksud dalam Islam
"Bukan jenis main campur tepung terus bakar, tu tekstur dia lain gila!" kongsi lelaki itu yang turut menjelaskan teknik tersebut memang biasa digunakan dalam pembuatan roti gaya Barat.
Antara keistimewaan Gardenia yang sering diperkatakan ramai adalah teksturnya lembut serta rasa yang berbeza berbanding roti biasa di pasaran.
Jelasnya, Gardenia kemudiannya mula memasuki pasaran semenanjung Malaysia sekitar 1986, namun berdepan cabaran besar kerana roti ini mempunyai jangka hayat yang pendek dan mudah rosak.

Bagi memastikan pengguna sentiasa menerima roti segar setiap hari, syarikat itu dilaporkan melabur besar dalam sistem logistik dan penghantaran menggunakan lori khas ke seluruh negara.
Selain itu, ramai juga baru menyedari klip plastik berwarna pada pembungkus roti Gardenia sebenarnya mempunyai fungsi penting.
"Korang perasan tak klip plastik 'G-Lock' yang warna-warni tu? Warna klip tu sebenarnya kod hari roti tu dihantar! Contohnya, coklat untuk hari Khamis dan kuning untuk Jumaat.

"Ni cara diaorang pastikan tak ada roti 'masuk angin' kat rak kedai," katanya.
Dalam pada itu, netizen turut membincangkan perbezaan rasa antara Gardenia Sabah dan semenanjung yang didakwa mempunyai tekstur dan rasa berbeza.
Perkongsian itu mencuri tumpuan warganet malah ada yang mengakui teknik itu yang digunakan dalam membuat roti sebenarnya adalah biasa di negara barat.
"Style ala Gardenia ni benda biasa la kat barat. Ini roti 'pain de mie'. Bentuk loaf dia orang panggil 'pullman'. Tepung kena pakai tepung tinggi protein, dan perlu ada milk solid, lemak, gula," kata netizen.
Bagi ramai rakyat Malaysia, Gardenia bukan sekadar roti biasa, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada nostalgia dan rutin harian sejak berpuluh tahun lalu.