Ketahui tentang cendawan hutan, air periuk kera disebut Jaslinda ketika sesat di hutan
SELEPAS 15 hari dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu, pendaki Jaslinda Saludin akhirnya ditemukan selamat pada Sabtu.
Seorang penduduk Orang Asli menjumpai Jaslinda dalam keadaan terhuyung-hayang di kawasan sungai berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Tapah, Perak.
Penemuan itu dianggap satu keajaiban memandangkan wanita berusia 49 tahun itu berada bersendirian di dalam hutan tanpa bekalan makanan sepanjang tempoh kehilangannya.
Menerusi rakaman video tular di media sosial, Jaslinda mendedahkan dia bergantung kepada sumber air semula jadi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Memang tak ada makanan. Saya dah dua minggu tak makan. Saya minum air hitam-hitam, air coklat, air daripada periuk kera.
"Rasa menikmati hidup walaupun bukan air paip. Saya ambil air daripada daun-daun," katanya.
Selain air daripada tumbuhan liar, Jaslinda turut memanfaatkan sumber makanan yang ditemuinya di dalam hutan.
Ketika ditemukan, dia dilaporkan membawa beg plastik mengandungi beberapa jenis tumbuhan termasuk cendawan liar yang menjadi antara sumber makanan sepanjang tempoh tersebut.
MENARIK DIBACA: Influencer maut lepas buat 'konten' makan ketam beracun, tangkap di hutan bakau
MENARIK DIBACA: Masak cendawan liar jumpa di taman, tak sangka sedap... Rupanya jenis 'rare' - "Baru tahu mahal, susah dapat"
Air periuk kera
Air di dalam tumbuhan periuk kera (Nepenthes) merupakan cecair semula jadi yang dirembeskan oleh tumbuhan itu untuk memerangkap serangga.
Dalam perubatan tradisional, air dan rebusan bahagian tertentu pokok periuk kera sering digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan.
Bagaimanapun, pakar mengingatkan bahawa tidak semua cecair yang terdapat di dalam periuk kera selamat diminum secara terus.
Kajian saintifik menunjukkan terdapat spesies periuk kera yang berfungsi sebagai perangkap atau 'tandas' semula jadi bagi haiwan seperti tupai dan kelawar.
Cecair yang belum diproses berkemungkinan mengandungi sisa serangga atau najis haiwan.
Bagaimanapun, cecair dalam periuk kera muda yang masih tertutup dan belum banyak menangkap serangga biasanya lebih bersih.
Periuk yang sudah lama terbuka mungkin mengandungi serangga mati, sisa pencernaan dan cecair yang telah berubah warna.
Air hitam, air coklat
Mengenai 'air hitam' atau 'air coklat', kemungkinan besar Jaslinda merujuk kepada air hutan yang berwarna gelap akibat tanin daripada daun, kayu dan bahan organik reput.
Air seperti ini memang biasa ditemui di kawasan hutan hujan tropika dan tidak semestinya tercemar, cuma warnanya gelap.
Dalam situasi survival, seseorang mungkin mengambil risiko minum air daripada periuk kera kerana dehidrasi lebih berbahaya daripada menunggu sumber air sempurna.

Cendawan liar
Laporan media tidak menyatakan secara spesifik jenis cendawan yang dimakan Jaslinda.
Bagaimanapun berdasarkan hutan hujan di kawasan Tapah dia mungkin makan cendawan kayu yang tumbuh pada batang pokok reput atau kulat liar yang biasa ditemui oleh masyarakat Orang Asli.
Harus diingat bukan semuanya boleh dimakan kerana terdapat spesies yang mengandungi toksin berbahaya dan boleh menyebabkan keracunan serius.
Berikut antara cendawan liar yang sering ditemui di hutan dan dikenal pasti selamat dimakan:
1. Cendawan Sawit atau Cendawan Busut (Termitomyces sp.)
Cendawan ini berbentuk payung berwarna putih, putih krim atau kelabu. Bahagian atasnya mempunyai benjolan berwarna perang manakala bahagian bawah mempunyai insang putih.

2. Cendawan Kukur atau Cendawan Sisir (Schizophyllum commune)
Berbentuk menyerupai kipas kecil dan warnanya putih keperangan serta mempunyai bulu halus pada permukaan. Bahagian bawahnya pula menyerupai insang berwarna coklat.
3. Cendawan Telinga Kera atau Cendawan Jeli Hitam (Auricularia auricula-judae)
Cendawan ini berbentuk seakan-akan telinga. Teksturnya lembut, kenyal dan berwarna keperangan.
Perlu diingat bahawa kisah Jaslinda ini ialah situasi survival kecemasan, bukannya cadangan untuk orang ramai minum air periuk kera atau makan cendawan ketika beriadah.
Jika tersesat di hutan, keutamaan adalah mendapatkan sumber air yang paling selamat dan jika boleh, menapis atau merebusnya terlebih dahulu.