Sedih tengok jiran bakar ubi kayu diberi bersama sampah! Netizen suruh positif, anggap masak cara tradisi
SEORANG individu meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa ubi kayu yang diberikan ibunya kepada jiran berakhir di tempat bakar sampah.
Menurut perkongsian itu, ibunya memberi ubi kayu yang baru digali kepada seorang jiran yang bekerja sebagai guru untuk sedekah atau berkongsi rezeki.
“Mak bagi sedekah ubi kayu baru digali kepada jiran kerja cikgu.
“Awak tahu apa? Dia bakar ubi tu dengan sampah-sampah depan rumah kami. Mak terasa hati sangat.

“At least kalau tak suka pergi buang tempat yang family kami tak nampak pun dah cukup,” kongsinya di Threads.
Individu berkenaan turut memaklumkan bahawa ubi kayu itu dibiarkan di kawasan berkenaan selama dua hari tanpa sebarang alas seperti aluminium foil, sekali gus menambah rasa kurang senang pihak keluarganya.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang tampil memberikan penjelasan.
Ada netizen berpendapat bahawa situasi tersebut mungkin disalah tafsir kerana terdapat tradisi lama membakar ubi kayu bersama bahan organik seperti daun kering dan kayu sebagai kaedah memasak.
MENARIK DIBACA: Dah tiada rupa kalau digoreng... Ada tip mudah elak ikan melekat pada kuali, kulitnya cantik tak terkoyak
MENARIK DIBACA: Siapa kata ibu baru bersalin tak boleh makan sedap? Ini 5 menu boleh dicuba ketika berpantang 44 hari
“Sampah apa dia bakar? Saya dengan arwah nenek dulu, tiap kali bakar sampah daun-daun kering, kayu, rumput, kami letak sekali ubi kayu atau ubi keledek. Sedap dibakar, jadi awak kena tengok betul-betul,” komen seorang netizen.
Seorang lagi individu turut berkongsi pengalaman sama melihat arwah neneknya membakar ubi kayu menggunakan kayu dan daun kering.
“Kalau kayu dan daun arwah nenek saya pernah buat bakar ubi kayu. Sedap ubi kayu bakar,” katanya.
Ada juga netizen yang menjelaskan bahawa teknik tersebut merupakan cara tradisional yang masih diamalkan terutama ketika aktiviti luar seperti berkhemah.

“Ubi kayu bakar namanya. Selain rebus dan buat kerepek, bakar ubi kayu memang cara nenek-nenek dulu. Sedap!
“Rajin buat kalau 'camping' dan ada ubi kayu. Sedap,” antara komen netizen.
Tidak kurang juga yang meluahkan rasa teruja mengimbau kembali kenangan lama menikmati ubi kayu bakar yang dimakan panas-panas bersama gula.
“Allahu… sedapnya ubi kayu! Bagi saya je la, cecah gula. Memang sedap makan panas-panas,” tulis seorang individu lain.