Warga asing didakwa pengotor jual aiskrim tong cat, ramai mengaku kena tipu harga
TULAR satu perkongsian di media sosial apabila seorang pelanggan mendakwa terkejut melihat aiskrim dijual seorang peniaga disimpan dalam tong cat selain mengenakan harga berbeza daripada apa yang dimaklumkan.
Menerusi satu hantaran di Threads, dia berkongsi pengalaman membeli aiskrim daripada penjual itu di kawasan Gurney Bay, Pulau Pinang.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendakwa aiskrim yang dijual disimpan di dalam tong cat, selain dikenakan caj RM5 satu walaupun sebelum pembelian penjual dikatakan memaklumkan harganya hanya RM1.50.
"Siapa beli aiskrim uncle dekat Gurney Bay tu, aiskrim letak dalam tong cat. Dah la kena 'scam'. Sebelum beli dia cakap satu RM1.50, sekali bayar jadi RM5," kongsinya.

Perkongsian itu yang disertakan bersama gambar tong cat didakwa digunakan untuk menyimpan aiskrim itu pantas meraih perhatian netizen dan komen pengguna lain yang pernah melalui pengalaman sama.
Ada yang mendakwa dikenakan harga lebih tinggi daripada dinyatakan.
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
MENARIK DIBACA: Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
"Pernah kena fasal harga. Saya beli tiga, ingat satu batang RM1.50 sebab dia cakap one ice cream one five only. Sekali bayar RM15.
"Mula-mula dia cakap RM1.50. Bila nak bayar, terus jadi RM5.

"Hari tu musim perayaan pun kena, mula-mula dia cakap RM1.50, jadi saudara mara pun ambil la. Waktu nak bayar boleh pula dia cakap RM5.
"Saya ada di tempat kejadian ketika majlis perbandaran datang nak sita motor, mula kesian tapi selepas tengok aiskrim dalam tong cat terasa kembang tekak.
"Saya tengok sendiri penjual aiskrim ni, kencing tepi semak kemudian tak basuh tangan terus jalan ke motosikal sebab ada budak tengah tunggu nak beli," antara komen netizen.