Bubbles O2 tarik balik 14 'batch' produk susulan aduan bau, rasa pelik
ADUAN beberapa pengguna mengenai bau dan rasa luar biasa minuman Bubbles O2 mendapat perhatian syarikat pengeluar yang mengumumkan penarikan balik produk itu secara sukarela bagi 14 kod 'batch' pengeluaran terpilih.
Menerusi pemberitahuan rasmi di Threads, Bubbles O2 memaklumkan tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar isu berkenaan.
“Kami dengar setiap aduan dan maklum balas yang dikongsikan mengenai Bubbles O2 sejak kebelakangan ini.
“Kami faham perkara ini telah menimbulkan persoalan dan kebimbangan dalam kalangan pengguna.
"Jadi, kami ingin berkongsi perkembangan terkini berdasarkan semakan dan siasatan yang sedang dijalankan," menurut kenyataan tersebut, Jumaat.

Menerusi kenyataan yang dikongsi, Bubbles O2 menjelaskan bahawa penarikan balik minuman tersebut tidak bermaksud semua botol daripada 'batch' yang disenaraikan mengalami masalah.
Sebaliknya, ia hanya melibatkan unit tertentu yang sedang dikenal pasti dan diperiksa dengan lebih lanjut.
Pemeriksaan awal juga mendapati kandungan air Bubbles O2 secara umumnya kekal selamat untuk diminum, manakala isu yang dilaporkan dipercayai mempunyai kaitan dengan proses pembungkusan dan bukannya kandungan air itu sendiri.
Semakan terhadap produk dari tempoh pengeluaran terdahulu pula tidak menunjukkan isu yang sama berdasarkan penilaian semasa.
MENARIK DIBACA: Asal usul nasi lemak kangkung dipersoal... Ramai kata dah wujud era 70-an di tiga negeri
MENARIK DIBACA: Sosej merah jenama popular kini dibuat guna pewarna dari ekstrak serangga
"Berdasarkan pemeriksaan dan penilaian semasa, kandungan air Bubble O2 kekal selamat untuk diminum.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa isu yang dilaporkan berkemungkinan berkaitan dengan proses pembungkusan dan bukan kandungan air itu sendiri.
"Produk yang dikenal pasti terjejas setakat ini adalah daripada tempoh pengeluaran antara 7 September 2026 hingga 22 September 2026," ujar kenyataan yang dikeluarkan.
Sehubungan itu, pengguna yang mempunyai stok Bubbles O2 di rumah dinasihatkan menyemak kod batch pada produk masing-masing, khususnya bagi produk yang dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

Sekiranya terdapat sebarang perubahan luar biasa pada keadaan, bau atau rasa minuman, pengguna dinasihatkan supaya tidak mengambil produk tersebut dan segera menghubungi pihak Bubbles O2.
Pihak syarikat turut memaklumkan bahawa bantuan termasuk pemeriksaan dan penggantian produk akan diberikan sekiranya diperlukan.
Pengguna yang mempunyai produk terjejas boleh mengemukakan maklumat menerusi pesanan langsung (DM) di platform media sosial rasmi Bubbles O2 atau menghubungi Khidmat Pelanggan di talian 019-238 9858 bagi urusan semakan dan penggantian produk.
Terdahulu, beberapa pengguna setia Bubble O2 mengadu apabila mendakwa terdapat perubahan rasa minuman tersebut ketika diminum.

Menerusi hantaran di Threads, seorang pengguna mendakwa membeli Bubbles O2 di Lotus’s E-Gate, Pulau Pinang pada 27 September 2026 sekitar pukul 2.14 petang.
Menurut pengguna tersebut, dia menyedari terdapat perubahan pada rasa minuman itu ketika diminum.
“Saya ingin membuat aduan berkenaan air minuman Bubbles O2 yang saya beli di Lotus’s E-Gate, Penang pada 27 September 2026, sekitar pukul 2.14 petang.
“Apabila diminum, saya perasan rasanya agak pelik dan berbeza daripada rasa yang biasa saya minum sebelum ini,” katanya.