Asyik menguap lepas sahur? Pelajar perubatan kongsi menu 'anti mengantuk' guna formula 'F-P-C Rule'
MENGANTUK selepas sahur bukan perkara asing terutamanya bagi individu bekerja yang perlu kekal fokus sepanjang hari.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Akmal Hakim tampil berkongsi pandangan dengan menyatakan mengantuk selepas sahur dapat dielak menerusi pemilihan makanan betul ketika sahur.
"Alaa, mengantuk sikit sahaja selepas sahur perkara normal.
"Salah. Buat pekerja pejabat sebenarnya tak normal dan penting supaya majikan tak fikir kita (pekerja) pemalas,” tulisnya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pelajar perubatan itu mencadangkan agar penggunaan formula ‘F-P-C Rule’ ketika sahur dapat diterapkan umum.
Jelasnya, F merujuk kepada Fiber (serat) merangkumi sayur atau buah terlebih dahulu, P pula Protein seperti telur, ayam atau ikan dan C adalah Carbs iaitu nasi atau roti wholemeal dalam kuantiti sederhana dan diambil paling akhir.
MENARIK DIBACA: Niat beli sikit, akhirnya penuh troli! Cuba teknik 5-4-3-2-1 elak 'lari' bajet ketika 'shopping'
MENARIK DIBACA: 5 jenis buah dan sayur paling sesuai untuk pesakit buah pinggang, diabetes
"Susunan ini membantu memperlahankan lonjakan gula dalam darah dan menjadikan tenaga lebih stabil.
"Contoh, menu sahur dicadangkan termasuk dua biji telur hancur bersama bayam, ikan salmon panggang dengan ulam-ulaman, sekeping roti wholemeal bersama avokado serta 500ml air kosong.

"Tambahan sedikit garam dalam air juga boleh membantu menggantikan elektrolit," kongsinya lagi.
Katanya, sahur tinggi dengan karbohidrat ringkas seperti nasi putih dalam kuantiti banyak, roti putih, kuih-muih dan air manis boleh menyebabkan paras gula dalam darah melonjak dengan cepat.
Lonjakan gula adalah punca kepada masalah mengantuk, fikiran kabur dan sukar untuk fokus ketika kerja.

"Pengambilan karbohidrat sahaja mudah terbakar berbanding protein dan lemak sihat dicerna lebih perlahan serta membantu membekalkan tenaga berpanjangan sehingga tengah hari," katanya.
Jelasnya, faktor ketiga sering dipandang ringan adalah dehidrasi dan ia berpunca daripada pilihan ramai untuk minuman manis ketika sahur berbanding air kosong.
“Air manis tak bantu hidrat badan seperti air kosong. Dehidrasi sikit pun cukup untuk buat prestasi otak dan tahap tenaga jatuh.
"Badan memerlukan 70 peratus air, bukan peratusan sama untuk teh tarik,” katanya.
