KUALI | Tip & Trik

Cef bongkar rahsia omelet hotel sedap, dah boleh buat sendiri dekat rumah!

Lead Image

TAK dinafikan, telur dadar atau omelet yang dihidangkan di hotel lima bintang antara yang tersedap pernah dimakan.

Nampak saja ringkas, tapi tak semua orang boleh hasilkan yang gebu, cantik dan rasa premium.

Rahsianya terletak pada teknik, suhu api dan bahan yang digunakan.

Menurut cef selebriti Jamie Oliver, berikut tip yang anda boleh cuba di rumah supaya telur dadar anda rasa setaraf dengan rasa hotel:

Telur segar memberikan rasa manis.

1. Guna telur segar dan pukul dengan betul

Pilih telur segar untuk rasa manis dan tidak hanyir.

Pecahkan ke dalam mangkuk, pukul dengan garfu atau whisk sehingga kuning dan putih sebati.

Pastikan ada sedikit buih – ini rahsia telur jadi lebih gebu.

Penambahan susu segar menambahkan rasa lemak berkrim pada telur.

2. Tambah bahan 'rahsia' untuk tekstur gebu

Campurkan 1 sudu makan susu segar atau krim masakan bagi setiap 2 biji telur.

Tambah sedikit garam dan lada hitam sebelum memasak supaya rasa lebih sekata.

Nak lagi umphhh, masukkan sedikit keju parmesan atau cheddar parut dalam adunan.

Mentega menambahkan aroma wangi dalam sajian.

3. Panaskan kuali 

Gunakan kuali non-stick dan cairkan butter (atau minyak zaitun) pada api kecil hingga sederhana.

Butter memberi aroma wangi dan warna keemasan yang cantik pada telur.

Pastikan kuali cukup panas sebelum tuang telur - elakkan melekat dan pastikan bahagian bawah garing cantik.

Pastikan protein dimasak terlebih dahulu.

4. Pilih topping sesuai

Masukkan protein seperti ayam, daging, sosej atau cendawan yang sudah dimasak terlebih dahulu.

Elakkan bahan berair seperti tomato mentah – ia boleh buat telur jadi lembik dan berair. 

Keju cheddar parut atau mozzarella boleh ditambah di tengah sebelum dilipat untuk rasa lemak berkrim.

Teknik memasak penting untuk pastikan telur dimasak dengan baik.

5. Teknik lipat dan goyang

Tuang telur yang sudah dipukul ke dalam kuali panas, biarkan bahagian bawah mula masak.

Guna spatula, tarik perlahan bahagian tepi ke tengah sambil condongkan kuali supaya telur mentah mengalir dan menutup ruang kosong.

Bila telur sudah set tapi masih lembut, masukkan topping dan lipat separuh.

Masak sementara sehingga bahagian luar sedikit perang – terus angkat dan hidangkan panas-panas.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Tip & Trik

Minyak masak kotor kembali jernih, Richard Is Cooking ajar caranya guna tepung jagung

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Tip & Trik

Rendam dalam air garam elak terung lebam, warna ungu kekal selepas digoreng

Terhangat