Tutup makanan, letak senduk atas lauk bukan suka-suka... Ada maksud dalam Islam
MAKANAN yang terdedah pada udara terlalu lama bukan sahaja boleh mengundang bakteria, tetapi juga dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.
Walaupun tidak nampak dengan mata kasar, makanan yang terdedah ini dikatakan boleh memberi kesan kepada seseorang merangkumi aspek kesihatan dan rohani.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, tindakan menutup makanan yang sudah dimasak sebenarnya adalah sebahagian daripada sunnah Nabi.

Malah, jika tiada penutup, boleh sahaja meletakkan senduk secara melintang sebagai tanda isyarat.
“Makanan sunnahnya ditutup. Jika tak ada penutup, buatlah tanda isyarat letak senduk secara melintang.
“Syaitan dan jin akan merosakkan makanan yang tak ditutup, beri kesan pada rohaniah si pemakan dan makanan juga mudah basi,” kongsinya.
MENARIK DIBACA: Cari segera 2 minuman ini jika seseorang terkena strok haba
MENARIK DIBACA: DIY pencuci guna 3 bahan... Lantai rumah berkilat, wangi seminggu
Dalam pada itu, tinjauan di laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa perbuatan meletakkan sebatang kayu atau apa sahaja sebagai penutup atau isyarat adalah salah satu cara menghindarkan gangguan, seperti disebut dalam hadis.
Riwayat daripada Jabir bin ‘Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Tutuplah bekas-bekas makanan, rapatkan penutup bekas-bekas minuman, tutuplah pintu-pintu dan padamkanlah lampu-lampu, kerana syaitan tidak dapat membuka bekas minuman, membuka pintu dan membuka bekas makanan (yang telah ditutup).

“Jika kalian tidak mempunyai penutupnya kecuali sebatang kayu yang diletakkan di atasnya dan menyebut nama Allah, maka lakukanlah…”
(Riwayat Muslim, 2012)
Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam sangat menitikberatkan aspek penjagaan makanan, bukan sahaja untuk mengelakkan pencemaran fizikal, tetapi juga sebagai langkah perlindungan daripada perkara yang tidak terlihat.
Menariknya, amalan ini juga selari dengan logik sains.
Makanan yang ditutup lebih terjamin kebersihannya, tidak mudah dicemari habuk, serangga atau bakteria, dan boleh tahan lebih lama.
