Buat roti 'polo toast' guna air fryer, 'topping' manis rangup bikin ketagih
KEBANYAKAN kita memang dah biasa pesan 'polo toast' di kopitiam, tapi rupanya menu ini cukup mudah dibuat sendiri di rumah menggunakan bahan-bahan ringkas.
Resipi yang dikongsikan oleh pempengaruh masakan Che Sayang ini mempunyai tekstur lembut di bahagian dalam, manakala permukaannya pula garing serta aromanya harum selepas dibakar.
"Tekstur lembut, mewah dengan rasa roti susu dan pastinya kepingan lebih tebal!” katanya.
Menariknya, resipi ini menggunakan roti susu tebal, kemudian disalut dengan adunan tepung, mentega, gula dan kuning telur seperti berikut:-

Bahan-bahan
- Roti susu tebal
- ⅓ cawan tepung gandum
- 2 sudu besar 'salted butter' atau marjerin
- 2 sudu besar gula
- 1 kuning telur
- ½ sudu kecil baking powder
- Sedikit air
- Mentega secukupnya
- Susu cair secukupnya
MENARIK DIBACA: Baunya semerbak satu rumah, ada rahsia buat roti bakar pandan gebu dan rangup
MENARIK DIBACA: [V] Kopitiam 143 serlah citarasa ‘Chinese fusion’, pelbagai pilihan roti bakar wajib dicuba
Cara penyediaan
- Masukkan tepung gandum, kuning telur, mentega, gula dan baking powder dalam mangkuk.
- Tambah sedikit air dan gaul rata sehingga semua bahan sebati.
- Sapukan adunan tersebut di atas sekeping roti dan buat beberapa garisan pada permukaannya.
- Bakar menggunakan air fryer pada suhu 180 darjah Celsius selama 10 minit atau sehingga permukaan roti keperangan.
- Sementara itu, bakar sekeping lagi roti tanpa disapu adunan.
- Setelah kedua-dua roti siap, letakkan sedikit mentega dan susu cair pada roti yang tidak bersalut.
- Apitkan kedua-dua keping roti dan 'polo toast' siap untuk dinikmati.