Wanita ajar cara buat roti canai lembut, anak lebih berselera berbanding makan di kedai
ROTI canai menjadi antara menu kegemaran rakyat Malaysia lebih-lebih lagi untuk sarapan pagi, minum petang atau ketika 'supper'.
Teksturnya yang rangup dan lembut dicecah pula bersama kuah kari atau dhal adalah faktor hidangan ini digemari individu semua peringkat usia.
Di Threads, seorang wanita, Syalfarina berkongsi resipi roti canai kegemaran anak-anaknya yang lebih suka menikmati hasil air tangannya berbanding dijual di kedai.
Katanya, roti canai 'homemade' itu bukan sahaja amat disukai anak-anak malah mereka turut menikmatinya dengan cara tersendiri.
Ada yang gemar mencecahnya bersama kuah asam pedas manakala ada juga yang lebih suka menikmatinya begitu sahaja tanpa kuah.
Menariknya, resipi roti canai ini pernah dihidangkan kepada tetamu dan menerima pujian kerana teksturnya lembut, rangup serta rasanya yang cukup memikat.
Berikut dikongsikan cara-cara untuk membuatnya:

Bahan-bahan:
- 4 cawan tepung gandum
- 1 1/2 sudu teh garam
- 2 sudu besar susu pekat manis
- 2 sudu besar minyak masak
- 1/2 cawan air suam
- 1 cawan air sejuk
- Mentega secukupnya
- Minyak masak
Cara penyediaan:
- Masukkan tepung gandum ke dalam bekas besar bersama garam, susu pekat manis dan minyak masak.
- Gaulkan semua bahan kering sehingga sebati sebelum memasukkan air.
- Tuangkan 1/2 cawan air suam dan gaul kemudian tambah air sejuk sedikit demi sedikit.
- Uli doh menggunakan tangan selama kira-kira 30 minit atau sehingga permukaannya licin dan tidak melekat pada tangan. Boleh juga menggunakan mesin pengadun doh.
- Rehatkan doh selama 15 minit dengan menutupnya menggunakan kain bersih.
- Selepas itu, uli semula selama 10 minit sehingga doh menjadi lebih licin.
- Biarkan doh berehat antara satu hingga dua jam.
- Bahagikan doh kepada beberapa bahagian kecil mengikut saiz yang anda mahu.
- Lumurkan setiap doh dengan campuran mentega dan minyak sebelum disusun dalam bekas.
- Rendam doh dalam sedikit minyak dan biarkan sekurang-kurangnya enam jam.
- Apabila sedia untuk dimasak, tebar doh di atas dulang atau permukaan meja yang telah disapu minyak.
- Masak di atas kuali dengan api sederhana sehingga keemasan dan rangup.