Anak dedah rahsia ibu buat cucur jagung udang sedap, rupanya tepung kena peram dulu
SIAPA sahaja yang mampu menolak nikmat cucur panas yang dihidangkan untuk minum petang?
Lagi-lagi kalau cucur jagung udang yang teksturnya rangup di luar dan lembut di dalam!
Menerusi satu hantaran tular di Threads, seorang wanita dikenali sebagai Miera Amira berkongsi resipi cucur jagung udang air tangan ibunya yang disifatkan sebagai 'juara' atau 'nombor satu'.
"Mak aku kalau buat cucur jagung memang juara nombor satu, sedap nak mampus! Rangup kat luar, lembut kat dalam, nak ke resipi?" tulisnya di laman Threads.

Dia juga tidak lokek berkongsi rahsia untuk mendapatkan tekstur sempurna itu yang mana adunan bersama yis diperam selama satu hingga dua jam supaya kembang dan gebu.
Kongsinya lagi, minyak yang banyak perlu digunakan sewaktu menggoreng supaya bentuk cucur bulat cantik dan tidak leper!
Bagi anda yang mahu mencuba sendiri di rumah, ini bahan-bahan dan langkah penyediaan lengkapnya.
Bahan-bahan
- 2 cawan tepung gandum
- 2 tongkol jagung manis
- 1 genggam udang hidup saiz kecil
- 2 ulas bawang kecil
- 1 biji cili merah besar
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil yis
- 1 hingga 2 cawan air sejuk
- Minyak masak
MENARIK DIBACA: Ini beza 4 jenis buah naga... Setiap warna ada rasa istimewa, khasiat tersendiri
MENARIK DIBACA: Ramai keliru pilih madu tulen, cuma perlu periksa logo khas sebelum beli
Cara penyediaan
- Dalam sebuah mangkuk besar, campurkan tepung gandum, isi jagung, udang, bawang kecil, cili merah, gula, garam dan yis.
- Tuangkan air sejuk secara perlahan-lahan sambil mengacau adunan. Pastikan adunan tidak terlalu cair atau terlalu pekat.
- Tutup mangkuk adunan dan biarkan ia berada pada suhu bilik selama 1 hingga 2 jam agar adunan kembang dan teksturnya menjadi lembut.
- Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas sebelum memasukkan adunan.
- Jemputkan adunan ke dalam kuali. Goreng sehingga bertukar warna kuning keemasan, angkat dan toskan minyak.