[V] Chef Naem lagi suka makan masakan isteri, tak selera air tangan sendiri
PASTI ramai menyangka seseorang yang bekerjaya sebagai tukang masak akan menyediakan pelbagai hidangan menarik setiap kali berbuka puasa.
Menyangkal pandangan tersebut, cef selebriti iaitu Chef Naem memberitahu dia juga sama seperti orang lain hanya menyediakan menu ringkas dan hidangan seadanya apabila Ramadan.
Meskipun bergelar tukang masak profesional, Chef Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli mengakui dia lebih berselera menikmati masakan air tangan isteri iaitu Nurul Syazwani Zulkaffli.

"Untuk bulan puasa, saya sebenarnya sama sahaja dengan orang lain, iaitu masak di rumah.
"Disebabkan saya dan isteri masing-masing bekerja, jadi siapa sampai rumah dahulu dia yang akan masak.
"Tapi sebenarnya saya lagi suka kalau isteri masak sebab kalau saya masak, saya tak makan pun. Air tangan isteri lebih menyelerakan," ujar bekas juara program Hero Oven itu.
Malah, jika kedua-duanya terlalu sibuk dan kepenatan, mereka memilih untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.
MENARIK DIBACA: [V] Bujang tapi rajin masak... Muaz Zabir kena ada lauk sambal dan kicap, penggemar ‘kuih sampan’
MENARIK DIBACA: 'Homemade' ayam pop sama enak macam Pagi Sore, dah tak perlu terbang ke Jakarta
Walaupun pernah 'berperang' di dapur hotel-hotel mewah, Naem berkata dia tidak cerewet memilih makanan, malah lebih puas jika dapat menikmati masakan orang lain.
"Sebenarnya saya lagi puas kalau dapat makan masakan air tangan orang lain.
"Sebab sebagai seorang cef, saya lagi puas kalau tengok orang lain makan masakan saya.
"Jadi kalau saya ke bazar Ramadan, saya cuma bawa duit sekitar RM20 sahaja sebab tidak mahu membazir," ujar pemilik jenama pizza, Ngam Pizz itu.

Sementara itu, isterinya iaitu Syazwani pula bersyukur kerana dikurniakan suami yang tidak cerewet mengenai makanan malah sering memuji air tangannya.
Malah, Syazwani turut bersikap terbuka menerima teguran daripada suami mengenai masakan.
"Suami makan sahaja apa yang saya masak, dia tidak banyak cakap.
"Cuma kalau masakan saya terlalu masin atau tawar, barulah dia beritahu. Kalau tidak semuanya okey sahaja," kata penggemar rendang itik air tangan suaminya.