[V] Bujang tapi rajin masak... Muaz Zabir kena ada lauk sambal dan kicap, penggemar ‘kuih sampan’
BAZAR Ramadan menjadi antara perkara yang ditunggu setiap kali tibanya bulan puasa.
Sana-sini, bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli pelbagai juadah lazat dan istimewa sebagai juadah berbuka puasa tidak kira daripada hidangan berat sehingga pencuci mulut.
Bagi 'kaki bazar', mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk turun padang dan membeli aneka juadah pilihan yang mereka gemari.

Begitu juga dengan pelakon Muaz Zabir tidak terkecuali untuk berkunjung ke bazar Ramadan dan memburu juadah kegemarannya iaitu tepung pelita yang digelarnya sebagai kuih sampan.
Kata Muaz, 28, setiap kali menyambut bulan Ramadan, dia tidak boleh berpisah dengan manisan berasaskan lapisan santan dan tepung beras itu yang dianggap sangat istimewa terutama ketika bulan puasa.
"Saya memang gilakan kuih sampan (tepung pelita) dan menjadi juadah wajib saya sepanjang bulan puasa.
"Tapi tidaklah saya makan hari-hari, tapi boleh dikatakan agak kerap," ujar jejaka tinggi lampai itu.
MENARIK DIBACA: Ibu hamil cuba puasa tapi kecundang sebab 'hipo', apa perlu dimakan sejurus berbuka?
MENARIK DIBACA: Minum kopi lepas makan durian bahaya? Ini 5 kombinasi makanan sering dilarang ambil bersama
Ketika berkongsi juadah lain yang dibeli ketika berbuka puasa, anak jati kelahiran Negeri Sembilan berkata adakalanya dia akan masak sendiri di rumah jika punya waktu terluang.
Kata pelakon drama Mitos Cinta Kita itu, memandangkan dia hidup bujang, kebanyakan hidangan yang dimasak juga sederhana untuk dirinya sendiri.
"Kadang-kadang saya masak di rumah. Cuma masakan sederhana sahaja.
"Antara masakan saya seperti ayam masak kicap, ayam sambal, telur masak kicap dan telur sambal. Semuanya sambal dan kicap," ujarnya.

Namun jika tidak punya masa, Muaz akan membeli sahaja di bazar memandangkan dia juga boleh dikatakan seorang 'kaki bazar'.
"Saya sangat 'kaki bazar', bahkan saya boleh jalan dari hujung ke hujung bazar Ramadan walaupun cuma membawa satu plastik kuih sampan sahaja.
"Bazar Ramadan kegemaran saya pula di Kelana Jaya dan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI)," katanya.