[V] Iman Troye tak setuju Gen-Z tak pandai masak, cuma tahu 'order' makanan online
PENYANYI Iman Troye menepis andaian bahawa rata-rata golongan muda terutama Gen-Z seperti dirinya tidak pandai memasak dan hanya tahu memesan makanan melalui aplikasi pengantaran.
Iman atau nama lengkapnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, ketika ditemui Kuali berkata mungkin ada segelintir anak muda hari ini lebih memilih memesan makanan melalui aplikasi, tetapi bukanlah dilakukan setiap hari.

Iman berkata, ada antara rakan-rakannya akan masak sendiri di rumah kerana mahu berjimat atau tinggal berjauhan dengan keluarga.
"Macam saya tinggal dengan keluarga, jadi saya makan apa yang mama saya masak.
"Tapi sekali-sekala saya akan pesan juga makanan dalam aplikasi kalau tidak sempat makan di rumah.
"Bercakap tentang golongan muda tak tahu masak, rakan-rakan sebaya saya ramai yang tahu masak, malah ia lebih menjimatkan," kata gadis dari Pantai Timur ini.
MENARIK DIBACA: Rakyat Malaysia 'spill' harga makanan di stadium World Cup 2026
MENARIK DIBACA: Masakan sering dipuji sedap, Farhan teringin buka kedai makan tapi risau tak cukup masa
Bagaimanapun, penyanyi lagu Teman itu berkata tidak ada salahnya jika sesekali memesan makanan menerusi aplikasi apatah lagi jika teringin makan sesuatu sajian yang kita tidak tahu masak.
"Ada hari mungkin kita teringin nak makan masakan barat dan sebagainya, jadi apa salahnya beli di luar," katanya.
Berkongsi tentang kemahirannya memasak, Iman mengakui ibunya perlu ada di sebelah jika dia memasak.
Kata Iman, tanpa ibunya di sisi, dia tidak mempunyai keyakinan malah masakannya tidak akan menjadi seperti yang diharapkan.

"Kalau saya masak, mama kena ada di sebelah sebab rasa masakan saya kena sama macam air tangan mama.
"Tapi kalau suruh saya masak ayam sambal tanpa mama di sebelah, saya boleh.
"Sebab ramai rakan cakap ayam sambal buatan saya sedap," katanya.