‘Tupai King’ viral sampai ke China, rupanya taktik peniaga jual durian kampung
DURIAN Tupai King ‘dilahirkan’ sekitar 2020 mula mencipta nama dalam kalangan peminat raja buah kira-kira dua tahun lalu.
Lebih lemak, eksklusif dan digemari tupai, durian itu mula menjadi sebutan dan rebutan pembeli dari luar negara seperti Singapura dan China.
Namun di sebalik popularitinya, persoalan mula timbul adakah Tupai King benar-benar wujud atau sekadar nama rekaan direka oleh penjual untuk menarik pembeli?
Tidak seperti Musang King atau Black Thorn yang telah lama dikenali dan diiktiraf secara rasmi, Tupai King masih belum ada bukti sahih tentang asal-usul atau statusnya.

Pengasas Festival dan Anugerah Durian, Tan Ban Kiat berkata, dalam dunia pemasaran digital, gimik viral bukan perkara asing.
Katanya, penggunaan nama seperti Tupai King diketengahkan oleh penjual durian dianggap sebagai taktik menaikkan nilai jualan durian kampung yang lazimnya dijual pada harga lebih rendah.
“Sedikit kreativiti pada nama, durian kampung biasa boleh dijual pada harga premium setanding durian gred A.
“Orang ramai tertarik dengan nama unik. Bila dengar Tupai King, mereka fikir unik.
MENARIK DIBACA: “Punyalah halus...” - Aiskrim Malaysia macam pensil cetus perdebatan, ramai pula terkenang jajan era 90-an
MENARIK DIBACA: Abang Aji tembam bukan sebab makan tapi susu, bapa jarang bagi ‘jajan’
“Tapi hakikatnya, ia mungkin durian kampung yang sedap, tapi bukan variasi baharu,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan ASEAN Records kepada Bangi Golf Resort sebagai “First Durian Friendly Hotel and Resort” di rantau ini dan Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2025.
Majlis itu turut dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Kata Tan, semakan rasmi bersama Jabatan Pertanian, Tupai King tidak termasuk dalam mana-mana senarai varian berdaftar seperti Musang King (D197), Black Thorn (D200), Udang Merah (D175) atau D24.
“Tiada pemetaan genetik atau dokumentasi ladang sah mengesahkan kewujudan durian bernama Tupai King.
“Sebagai presiden persatuan dirinya, saya sendiri tidak pernah rasa akan keunikan durian dimaksudkan itu,” ujarnya.

Katanya, fenomena Tupai King menjadi cerminan bagaimana sektor makanan lokal terutama durian boleh terjebak dalam arus viral marketing boleh mengelirukan pengguna.
“Sebagai peminat durian, pengguna harus bijak menilai jangan hanya tertarik dengan nama, tetapi tanya, rasa dan fahami apa yang anda bayar.
“Durian lokal bukan perlukan nama pelik untuk jadi hebat kerana kualiti sebenar tetap akan menyerlah dengan atau tanpa gimik,” ujarnya lanjut.
Festival itu menawarkan peluang kepada pencinta durian untuk menikmati varian premium seperti Musang King dan Black Thorn dan menjadi medan pertemuan penting untuk pekebun, pengeksport dan pengusaha pelancongan.