Tamak 'order' makanan, restoran bufet kenakan caj jika pelanggan muntah
RESTORAN bufet atau dengan tawaran konsep 'all you can eat' (AYCE) semakin popular bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Disebabkan harga yang dibayar agak mahal, ramai pengunjung sanggup ‘melantak’ habis-habisan semata-mata mahu memastikan duit dibelanjakan benar-benar berbaloi.
Selalunya kita hanya dengar restoran yang menawarkan konsep ini pula akan mengenakan caj tambahan kepada pelanggan yang membazir atau meninggalkan makanan di meja.
Bagaimanapun lain pula ceritanya dengan sebuah restoran bufet Jepun ini apabila mereka mengenakan caj khas kepada pelanggan yang muntah selepas makan.

Menurut laporan media, restoran Sushi Toro yang terletak di Gelves berhampiran Sevilla, Sepanyol memperkenalkan peraturan tersebut selepas terlalu banyak kejadian pelanggan makan berlebihan sehingga muntah di dalam premis.
Restoran yang terkenal dengan lebih 200 pilihan makanan Jepun itu dikatakan sering menerima pelanggan yang memesan makanan tanpa berfikir panjang.
Pihak restoran berkata, situasi itu semakin kerap berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menimbulkan masalah kebersihan dan menyusahkan pekerja mereka.
MENARIK DIBACA: Seawal 6 pagi dah ramai beratur, bufet sarapan di restoran Cina Muslim ini hanya RM12.90
MENARIK DIBACA: Tak payah tempuh jem! Ini 6 lokasi bufet Ramadan berhampiran stesen LRT dan MRT
“Kami mempunyai ramai pelanggan yang terus memesan makanan tanpa henti dan makan sehingga terlalu kenyang lalu muntah,” menurut kenyataan wakil restoran itu di media sosial.
Lebih mengejutkan, muntah pelanggan bukan saja ditemui di kawasan tandas, malah ada juga yang berlaku di meja makan ketika restoran sedang dipenuhi pelanggan lain.
Keadaan itu memaksa pekerja restoran melakukan kerja pembersihan tambahan ketika keadaan premis sedang sibuk.
Restoran tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar caj yang dikenakan, namun peraturan itu dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga.