KUALI | Trending

Niat asal mahu ‘menggaji’ isteri bawa berkat, Kopi Saigon kini ada 200 cawangan di seluruh negara

Lead Image

PERMULAAN Kopi Saigon cukup humble sebelum jenama itu menjadi terkenal seperti mana hari ini.

Asalnya, ia hanya sebuah gerai kecil menumpang di bawah bumbung sebuah warung makan di Taman Dato Harun, Petaling Jaya, Selangor yang diusahakan sepasang suami isteri hendak mencuba nasib dalam dunia perniagaan.

Gerainya tidaklah mewah, malah setiap bulan pemiliknya iaitu Asyraf Kamal yang ketika itu baru berusia 29 tahun perlu membayar sewa tapak RM300 setiap bulan kepada pemilik warung.

Bermodalkan RM3,000, Asyraf yang ketika itu masih bekerja sebagai jurutera projek di Tenaga Nasional Berhad (TNB) tekad dengan keputusan berniaga walaupun ketika itu dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Ketika banyak pengusaha lain terpaksa 'gulung tikar', Asyraf pula melihat ia peluang apatah lagi kopi mula menjadi minuman trend dalam masyarakat.

Asyraf membuka Kopi Saigon kerana ingin menggaji dan berada dekat dengan isterinya.

"Ketika pandemik, muncul trend kopi seperti dalgona sehingga mencetuskan fenomena dalam masyarakat.

"Minuman kopi tiba-tiba menjadi kegemaran ramai, malah tumbuh pelbagai jenama kopi ketika itu namun kebanyakannya menggunakan jenis kopi sama iaitu arabica.

"Saya tidak terkecuali, bezanya saya ketengahkan kopi Vietnam menggunakan biji kopi robusta yang mana rasanya sangat dekat dengan rakyat Malaysia," ujar anak jati kelahiran Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor itu.

Bercerita lebih lanjut, Asyraf ketika ditemui Kuali baru-baru ini berkata, tujuan utamanya membuka perniagaan Kopi Saigon kerana mahu menggaji isterinya.

MENARIK DIBACA : “Amoi suka masak, abang suka makan” - Aisha Tan dan Azrul kongsi pertemuan pertama, kepak ayam cola perkenal Soya Belacan di media sosial

MENARIK DIBACA : Kongsi resipi masakan Cina versi halal, percubaan Jia Le Woh erat perpaduan melalui makanan berjaya

Kata Asyraf, cara itu juga dapat membuatkan dia meluangkan lebih banyak masa bersama isteri memandangkan sebelum ini mereka masing-masing sibuk.

"Sebenarnya saya mulakan perniagaan Kopi Saigon ini dengan niat untuk menggaji isteri saya. Saya mahu dia bekerja dengan saya selain meluangkan lebih banyak masa bersamanya.

"Sebelum ini, kami hanya berjumpa pada waktu malam sahaja sebab masing-masing sibuk.

"Jadi bila saya usahakan Kopi Saigon, isteri akan sentiasa ada dengan saya 24 jam setiap hari," katanya.

Gerai Kopi Saigon asalnya menumpang di sebuah warung di Taman Dato Harun, Petaling Jaya.

Benarlah kata orang 'rezeki tidak pernah salah alamat', dalam masa tiga bulan sejak Kopi Saigon diperkenalkan pada Jun 2021, ia mula berkembang biak apabila mempunyai 10 kios di sekitar Lembah Klang.

Bagi Asyraf sendiri, berkembangnya jenama Kopi Saigon, maka bermulalah cabaran sebenar untuk dia membahagikan masa antara pekerjaan hakiki dengan bisnes diusahakan.

Selepas hampir empat bulan mendirikan Kopi Saigon, Asyraf akhirnya mengambil keputusan berat untuk berhenti kerja untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

"Pekerjaan sambilan inilah yang akhirnya 'memecat' saya apabila terpaksa berhenti bukan kerana tidak seronok dengan pekerjaan sebelumnya, tapi mahu memberi fokus kepada perniagaan.

Kini terdapat pelbagai seleksi pilihan menu di Kopi Saigon.

"Banyak saya belajar ketika bersama TNB terutama dalam bidang kejuruteraan dan dunia korporat.

"Malah, pengalaman yang ditimba itu saya amalkan ketika membina jenama Kopi Saigon sehingga tertubuhnya syarikat Seruni Global Sdn. Bhd," kongsinya.

Bergelar pengasas kepada sebuah jenama minuman kopi, Asyraf mengakui dia bukanlah individu 'terpaling kopi' atau pakar tentang minuman tersebut.

Namun, dia tidak boleh 'kosong' tentang kopi dan perlu tahu sedikit sebanyak ilmu tentang apa yang ditawarkan kepada pelanggan melalui bacaan maklumat dalam internet.

"Saya banyak menimba ilmu dan pengetahuan tentang kopi melalui bacaan dalam internet selain belajar melalui kesalahan.

Kopi Saigon menggunakan biji kopi robusta yang diimport dari Vietnam.

"Selain itu saya bersyukur kerana mempunyai kenalan dari Vietnam yang juga merupakan pembekal biji kopi dari Ho Chi Minh, iaitu nama baru bagi Saigon, Vietnam.

"Jadi dialah yang banyak mengajar saya tentang proses membuat kopi sehingga perlahan-lahan usaha yang dari awalnya kecil kini berkembang sehingga peringkat industrial," kata Asyraf.

Bersembang tentang keistimewaan Kopi Saigon berbanding jenama kopi lain, Asyraf memberitahu produk kopi keluarannya mengguna biji kopi robusta berkualiti tinggi dengan teknik pemanggangan tradisional.

Walaupun terdapat negara-negara lain turut mengeluarkan biji kopi, termasuk Malaysia, namun rasa biji kopi yang dibawa khas dari Vietnam ini memiliki keunikan berbeza.

Saya berpandangan, kopi bukan sekadar minuman, tetapi juga membabitkan emosi.

ASYRAF KAMAL, Pengasas Kopi Saigon

"Di dunia terdapat tiga jenis biji kopi popular iaitu arabica, liberica dan robusta.

"Biji kopi robusta merupakan jenis kopi kedua paling popular di dunia selepas arabica dan ia dikenali kerana rasanya yang kuat, pahit dan berprofil.

"Oleh itu, biji kopi robusta dianggap sebagai pilihan terbaik untuk memenuhi selera pecinta kopi di Malaysia yang dianggap berani," jelasnya.

Mengetengahkan tagline 'Tiada Hari Tanpa Kopi', selepas hampir lima tahun berjuang di pasaran tempatan, Kopi Saigon kini boleh mendabik dada apabila telah membuka lebih daripada 200 cawangan di seluruh Malaysia.

Terbaharu, sekitar Oktober lalu, Kopi Saigon secara rasminya telah menjejakkan langkah ke Bumi Kenyalang, Sarawak dengan membuka bukan satu, tetapi lima cawangan sekali gus iaitu di Sibu, Miri, Hospital Bintulu, UTC Kuching, dan Matang Parade.

Asyraf sebelum ini bergelar jurutera di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tidak lari daripada cabaran, Asyraf berkata untuk mengekalkan keyakinan pelanggan bukanlah suatu hal mudah.

Justeru, sebagai langkah menjaga kesetiaan pelanggan selain menarik jumlah penggemar baharu, Kopi Saigon tidak boleh tertumpu semata-mata menjual kopi, tetapi juga emosi.

"Saya berpandangan, kopi bukan sekadar minuman, tetapi juga membabitkan emosi.

"Melalui kopi, seseorang itu boleh meluahkan rasa kasih dan sayang baik untuk keluarga mahupun kenalan.

Malah, Kopi Saigon juga mampu meninggalkan memori tentang keenakan rasa kopi yang pernah mereka nikmati," katanya Asyraf seraya tersenyum.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Praktikal tetapi berisiko, penyelidik temukan kandungan toksik dalam serbuk protein

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

4 hidangan warisan ini ada sejarahnya, nasi lemak direkodkan dalam buku terbitan British

Terhangat