4 hidangan warisan ini ada sejarahnya, nasi lemak direkodkan dalam buku terbitan British
MALAYSIA memang dikenali sebagai syurga makanan malah restoran yang dibuka 24 jam bukan perkara pelik.
Perkara itu juga membuatkan pelancong dari luar negara terkejut malah ramai menganggap negara ini sebagai destinasi 'penyebab' berat badan meningkat mendadak.
Malah seleksi makanan dari pelbagai latar budaya dan bangsa menjadikan negara ini unik.

Sebenarnya sejarah dan latar belakang negara kaya dengan budaya juga melahirkan aneka hidangan enak.
MENARIK DIBACA: Dua tahun beroperasi, Shiha Zikir tutup kedai nasi ayam cawangan Shah Alam
MENARIK DIBACA: Sisa kulit telur jangan dibuang, rupanya boleh dijual RM10 sekilogram
Namun di sebalik keenakan setiap sajian, sebenarnya tersimpan kisah sejarah dan warisan budaya cukup menarik.
Setiap hidangan mencerminkan pengaruh pelbagai kaum dan tradisi hidup harmoni sejak turun temurun, menjadikannya lebih daripada sekadar makanan.
Sebaliknya simbol identiti, kenangan dan cara hidup masyarakat tempatan. Jom selami kisah ringkas di sebalik empat hidangan ikonik Malaysia ini.

1. Nasi Lemak
Nasi lemak boleh dikatakan antara hidangan paling dekat di hati kebanyakkan penduduk di negara ini.
Nama hidangan ini sebenarnya merujuk kepada santan digunakan untuk memasak nasi menjadikannya kaya dengan aroma dan berlemak.
Kisah sejarah nasi lemak bermula sebagai makanan tradisi direka oleh petani dan nelayan untuk mendapatkan bekalan tenaga.
Sejarah nasi lemak kemudian direkodkan dalam buku The Circumstances of Malay Life, sekitar 1909 oleh pentadbiran kolonial British, Sir Richard Olof Winstedt.
Selain catatan sejarah, ada juga kisah legenda tempatan tentang dua beranak, Mak Kuntum dan anaknya, Seri atas kesilapan mencampurkan santan dalam nasi dimasak.

2. Nasi Kandar
Nasi kandar sangat sinonim dengan Pulau Pinang tetapi kini boleh ditemui hampir di seluruh negara.
Pengaruh hidangan ini terdiri daripada nasi putih disiram dengan pelbagai jenis kuah kari bersama pilihan lauk seperti ayam, daging, sotong dan sayur-sayuran.
Nasi kandar dikatakan berasal daripada cara penjual dahulu memikul nasi menggunakan batang kayu di bahu.
Hidangan ini dibawa oleh masyarakat India Muslim yang berhijrah dari India Selatan ke Pulau Pinang sekitar abad ke-18.

3. Cendol
Cendol dipercayai dibawa ke Malaysia dan Singapura oleh pedagang Jawa dari Indonesia sekitar abad ke-19.
Pada permulaan, cendol dijual menggunakan basikal roda di sekitar pasar tradisional dan menjadi hidangan popular di kawasan bandar seperti Pulau Pinang.
Perkataan cendol mula direkodkan dalam salah sebuah akhbar tempatan sekitar 1932.
Ada pendapat menyatakan cendol berasal dari kawasan pelabuhan apabila lebihan ais kapal diparut dan dijadikan pencuci mulut.
Cendol turut diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia sebagai Objek Warisan Tidak Ketara.

4. Roti Canai
Diperbuat daripada doh tepung diuli dan ditebar nipis sebelum dimasak, roti canai antara menu tradisional turut mendapat tarikan tersendiri.
Roti canai juga menyimpan kisah menarik kerana terdapat beberapa kepercayaan tentang asal usul hidangan ringkas ini.
Roti ini dipercayai dibawa masyarakat India berhijrah ke Tanah Melayu semasa zaman penjajahan British.
Ada juga berpendapat istilah canai bererti menggulung doh nipis dalam bahasa Melayu.
Tidak kurang, juga yang mengaitkannya dengan chana atau sejenis kari kacang kuda.