[V] Tokti penggemar ikan sungai, malu-malu mengaku handal masak patin tempoyak - "Level kepakaran 9 per 10"
MENGIMBAU kenangan membesar di kampung halamannya di Pahang, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi sering menikmat hidangan ikan sungai yang dipancing sendiri oleh bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail.
Kata Biduanita Negara itu, arwah bapanya memang suka memancing dan akan membawa pulang ikan sungai untuk dijadikan lauk di rumah.
Tambah Siti lagi, boleh dikatakan menu hariannya bersama keluarga adalah ikan sungai, berbanding ayam atau daging yang hanya akan dimakan jika punya rezeki lebih.

"Kami (keluarga) memang tak makan luar sebab hari-hari mak saya akan masak di rumah.
"Lauk yang biasa kami makan ialah ikan sungai yang dipancing sendiri oleh arwah abah
"Seringkas-ringkas lauk, kalau dapat telur goreng dan kicap pun syukur Alhamdulillah, makan pun sedap," kongsinya kepada Kuali.
Ketika ditanya pandangan sesetengah individu yang tak lalu makan ikan sungai kerana bau hanyir, anak jati kelahiran Temerloh itu tidak menafikan perkara tersebut.
MENARIK DIBACA: 3 anak kena jaundis, doktor akui amal cara orang lama... Mandikan bayi dengan air daun kucai
MENARIK DIBACA: Tak ramai tahu kulit buah salak rupanya boleh dijadikan penawar sakit diabetes, sembelit
Penyanyi yang popular dengan lagu Jerat Percintaan itu mengakui memang ada sesetengan individu tidak makan ikan sungai kerana baunya, namun ia berbalik dengan kehidupannya semasa kecil.
"Memang tak dinafikan sebab ada orang dia membesar dengan hanya makan ikan laut.
"Berbanding saya orang kampung yang tinggal dekat dengan Sungai Pahang, jadi saya dah biasa makan ikan sungai.
"Tapi kalau ikutkan, ikan sungai liar memang tak ada bau hanyir, berbanding ikan sangkar (ternak).
"Sebagai contoh ikan patin sungai, memang sedap dan tak berbau hanyir," jelas figura berusia 47 tahun itu

Ditanya tentang kepakarannya memasak sajian dari Pahang iaitu patin masak tempoyak, Siti malu-malu memberitahu patin masak tempoyak air tangannya bukan sahaja digemari suami, tetapi juga seisi keluarga.
"Tak bolehlah puji diri sendiri, tapi apa-apa pun suami saya memang suka patin masak tempoyak.
"Kakak dan adik ipar saya yang tak makan ikan sungai pun suka dan hanya makan (patin tempoyak) kalau saya yang masak.
"Jadi kepakaran saya bolehlah untuk makan sendiri, antara lapan hingga sembilan per 10," katanya sambil ketawa.