Berita baik menjelang Ramadan, Kerajaan kaji kemungkinan masukkan barangan basah dalam senarai Sara
KERAJAAN sedang dalam penelitian untuk memasukkan barangan basah seperti ayam dan ikan ke dalam senarai pembelian Sumbangan Asas Rahmah (Sara), selewat-lewatnya sebelum Ramadan ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim apabila memberitahu terdapat permintaan supaya barangan keperluan lain turut ditambah dalam senarai barangan yang boleh dibeli termasuk barangan basah.
Ujarnya, penelitian tersebut bertujuan untuk memberi kelegaan kepada masyarakat terutamanya sewaktu menjelang musim perayaan.

"Ada pandangan diberikan oleh beberapa pihak, dan kementerian sedang meneliti untuk memasukkan barangan lain kerana ada permintaan untuk memasukkan barangan basah seperti ikan, ayam dan sebagainya.
"Kita jangkakan sebelum Ramadan ini ia dapat dilaksanakan supaya menjelang Aidilfitri atau perayaan-perayaan lain selepas ini dapat memberi kelegaan kepada masyarakat," katanya.
Pada masa sama, kerajaan turut sedang mencari mekanisme terbaik memperluaskan skop Sara bagi tujuan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
MENARIK DIBACA: Sama tapi tak serupa, warna cili benggala berbeza rasa dan tekstur
MENARIK DIBACA: Lembutnya sampai tak terasa ketika ditelan, 'Khanom leum kleun' semakin diminati di Malaysia
"Selain itu, lebih banyak kedai-kedai kecil khususnya di kawasan luar bandar juga akan diberi ruang supaya penerima bantuan Sara dapat membeli barangan di kedai berkenaan," jelasnya.
Sara mula diperkenalkan oleh Kerajaan Madani pada tahun 2024 sebagai bantuan tambahan barangan keperluan asas bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pada tahun 2024, ia memfokuskan kepada golongan miskin tegar di Semenanjung, dan diperluaskan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mulai 15 Januari 2025.