[V] Makan di premis mewah, pelanggan cabut bulu ketiak letak dalam pinggan nak elak bayar bil
TINDAKAN individu yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengelak membayar bil makanan pastinya mengundang rasa marah peniaga.
Seorang lelaki dari Ireland dipercayai cuba mengelak daripada membayar bil dengan meletakkan bulu ketiaknya dalam makanan ketika menjamu selera di sebuah restoran mewah.
Kejadian berlaku di Pony Dining yang terletak di kawasan popular The Rocks, Sydney, Australia.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi pihak restoran memaparkan lelaki berbaju putih dilihat memandang sekeliling sebelum menyeluk tangannya ke dalam baju (bahagian ketiak) dipercayai untuk mencabut beberapa helai bulu.
Lelaki itu dikatakan datang bersama lima lagi ahli keluarganya dan mereka memesan pelbagai hidangan premium termasuk stik tomahawk anggaran harga AUD$600 (RM1,660).
Menurut pihak restoran, kumpulan pelanggan berkenaan membuat aduan selepas hampir menghabiskan makanan dipesan mereka dan mendakwa terdapat bulu dalam hidangan disajikan.
MENARIK DIBACA: Lori durian tarikan utama bufet Ramadan Hilton PJ... Musang King, XO, udang merah semua ada!
MENARIK DIBACA: Pelanggan bayar 'air' bukan isi, Youtuber dedah taktik kotor peniaga King Crab
Selepas membuat aduan mengenai makanan didakwa 'tercemar', mereka enggan menjelaskan bayaran penuh.
"Semua dalam keadaan sangat bersih, meja mereka cantik dan teratur. Kami mula pelik dengan tingkah laku mereka lalu membuat keputusan untuk memeriksa CCTV.

"Mereka membuat banyak pesanan termasuk tomahawk. Kami cuba minta mereka bayar tetapi lelaki itu enggan.
"Keadaan ini mendesak kami untuk menghubungi pihak polis, namun ketika ini rakaman belum diperoleh, jadi polis maklumkan ini adalah isu sivil dan tiada tindakan dapat diambil," kongsi pihak restoran kepada laman berita dalam talian di Australia.
Akhirnya, kumpulan tersebut hanya membayar untuk minuman sebelum beredar dari premis berkenaan.

Pihak restoran kemudian mengambil keputusan untuk menyiarkan rakaman tersebut di akaun Facebook rasmi mereka.
"Kami biasanya tidak berkongsi kandungan seperti ini. Rakaman ini menunjukkan insiden berlaku di premis kami.
"Selepas makanan dihidangkan, tetamu berkenaan membuat aduan mengenai bulu dalam makanan dan enggan buat bayaran penuh.
"Sepanjang interaksi, pasukan kami berhadapan dengan tingkah laku tidak wajar,” menurut kenyataan dimuat naik bersama video tersebut.
Rakaman berkenaan kini tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab itu.
